UPM-UTM OTEC Centre Manfaat Air Dasar Laut (ADL) Kukuh Teknologi Marin Hijau | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM-UTM OTEC Centre manfaat Air Dasar Laut (ADL) kukuh teknologi marin hijau

UPM-UTM OTEC Centre manfaat Air Dasar Laut (ADL) kukuh teknologi marin hijau

 

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Foto Oleh: Muhammad Najman Saleh

 

PORT DICKSON, 20 Jan – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membangunkan makmal penyelidikan Hibrid Ocean Thermal Energy Conversion (H-OTEC) yang memanfaatkan potensi Air Dasar Laut (ADL) dan mengukuhkan teknologi tenaga hijau marin yang mampan.

 

UPM-UTM OTEC Centre  mengukuhkan teknologi tenaga marin hijau yang mampan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi OTEC di peringkat global.

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Zamberi Sekawi, berkata projek ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada penjanaan tenaga tetapi kepada potensi besar ADL dalam pelbagai bidang seperti akuakultur, penyahgaraman, dan industri makanan.

 

“Sokongan Kolaborasi Antarabangsa dan kerjasama erat antara UPM, UTM, Saga University, Jepun dan rakan industri Jepun seperti Xenesys menonjolkan kekuatan Malaysia dalam menjalin sinergi dengan pakar antarabangsa untuk memacu inovasi teknologi hijau.

 

“Makmal H-OTEC ini dijangka memberi impak besar kepada penyelidikan tenaga boleh diperbaharui serta membuka peluang baharu bagi memanfaatkan sumber marin secara mampan untuk generasi akan datang” katanya.

 

Makmal H-OTEC terletak di Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (IAQUAS), UPM Port Dickson, merupakan inisiatif utama bagi menyokong matlamat Carbon Net-Zero dan masyarakat rendah karbon, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) di Asia Tenggara, khususnya Malaysia.

 

Beliau berkata, UPM-UTM OTEC Centre bukan sahaja menyediakan kemudahan penyelidikan sistem OTEC bertaraf dunia tetapi juga mampu menarik penyelidik, pelajar, dan institusi pembiayaan antarabangsa untuk menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi dalam penjanaan tenaga hijau marin.

 

“Makmal ini dibangunkan bagi menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi sistem H-OTEC yang menggabungkan penjanaan tenaga elektrik dengan teknologi penyahgaraman air laut untuk menghasilkan air minuman.

 

“Elemen teknologi H-OTEC ini telah direka oleh rakan kolaborasi dari Jepun, termasuk Saga University dengan kerjasama syarikat Xenesys,” katanya.

 

Pusat penyelidikan bertaraf dunia ini, yang turut dikenali sebagai UPM-UTM OTEC Centre, menjadi sebahagian daripada program Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS).

Date of Input: 21/01/2025 | Updated: 21/01/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYBWIAH~