Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 17 Jan - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) telah menganjurkan program HomeSc Beauty Spa berasaskan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai inisiatif untuk membuka peluang kerjaya kepada pelajar Sains Rumahtangga dalam bidang kosmetologi.
Program bertemakan ‘Relax, Renew, Revitalize’ ini bertujuan mengasah kemahiran pelajar dengan memberi pendedahan teori dan praktikal bagi menghadapi dunia pekerjaan sebenar.
Ketua Program, Anis Zakaria, yang juga pensyarah dalam bidang Sains Rumahtangga, berkata program ini merupakan sebahagian daripada kod kursus yang memberi fokus kepada tiga bidang utama, iaitu kosmetologi, fesyen, dan kulinari.
“Ramai beranggapan bidang pendidikan Sains Rumahtangga hanya melahirkan tenaga pengajar. Namun, dengan kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki, pelajar juga berpotensi menceburi perniagaan sendiri.
“Bidang ini turut menyokong inisiatif TVET dengan membolehkan pelajar menyumbang kemahiran serta ilmu kepada industri, khususnya dalam industri kecantikan dan penjagaan diri yang menawarkan pelbagai peluang kerjaya,” katanya.
Menurut Anis, bidang kosmetologi bukan sahaja berteraskan seni tetapi juga sains yang menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan kecantikan dan kesihatan tubuh.
“Program seperti HomeSc Beauty Spa ini, katanya, membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka industri sambil mempersiapkan mereka dengan kemahiran yang relevan untuk masa depan, ” katanya.
Pelajar Bacelor Pendidikan Sains Rumahtangga dengan Kepujian, FPP, UPM, Nur Syahzanani Nasir, 22, berkata kursus ini telah membantu beliau meningkatkan kemahiran komunikasi, terutamanya ketika berinteraksi dengan pelanggan.
“Komunikasi amat penting bagi memahami kehendak pelanggan dan memenuhi cita rasa mereka. Selain itu, saya juga belajar membina hubungan positif dengan pelanggan serta memanfaatkan pemasaran digital untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan,” katanya.
Rakannya, Nurin Jazlina Juharis, 21, berkata kursus ini merangkumi pelbagai aspek, termasuk elemen sains yang diaplikasikan dalam aktiviti praktikal seperti memahami bahan kimia dalam produk penjagaan diri.
“Dengan pengetahuan tentang pengurusan perniagaan dan pemasaran, elemen TVET ini membantu saya dalam membuat keputusan kerjaya pada masa depan,” katanya.
Date of Input: 21/01/2025 | Updated: 21/01/2025 | aghniya
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA