SERDANG, 8 Disember – Berkhidmat dalam industri minyak dan gas selama 15 tahun menjadi pendorong utama buat Suphasan Boonratana, 36, melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Langkah ini diambil bagi memperkukuhkan pemahamannya dalam teori perniagaan untuk menghadapi cabaran dunia korporat.
“Saya memilih untuk melanjutkan pengajian selama dua tahun setengah bagi menyesuaikan jadual dengan kerjaya sepenuh masa.
“Sepanjang pengajian, banyak perkara yang membuka mata saya. Dengan latar belakang kejuruteraan, pengalaman saya dalam aspek korporat agak terhad. MBA ini juga membantu saya memahami teori perniagaan dan cara mengaplikasikannya dalam pekerjaan saya sekarang.
“Ia memberikan perspektif baru dalam bidang yang saya ceburi,” katanya.
Beliau yang berasal dari Kelantan turut berkongsi cabaran menuntut ilmu semasa pandemik Covid-19, di mana proses pembelajaran dilakukan secara dalam talian.
“Belajar sambil bekerja memang mencabar, tetapi saya percaya usaha ini adalah pelaburan terbaik untuk masa depan saya,” tambahnya.
Bapa dua orang anak ini terus komited untuk mengimbangi tuntutan kerjaya dan pembelajaran, menyifatkan pengalaman di PBS sebagai platform terbaik untuk transformasi profesionalnya.
Date of Input: 14/01/2025 | Updated: 14/01/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA