UPM Bantu Perkasa Pendidikan Komuniti Suku Bateq | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM Bantu Perkasa Pendidikan Komuniti Suku Bateq

UPM Bantu Perkasa Pendidikan Komuniti Suku Bateq

Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM

 

 

SERDANG, 28 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Kolej Sepuluh dengan sokongan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) telah melaksanakan Program Santuni Warisan @ Literasi Kelas Rimba Bateq (KRB) dengan menyantuni masyarakat Orang Asli suku Bateq di Pahang, baru- baru ini.

 

Program yang berlangsung selama tiga hari ini bertujuan memperkasa pendidikan asas anak-anak suku Bateq sebagai persediaan ke sekolah aliran perdana serta memperkenalkan pembelajaran dalam suasana budaya, aktiviti seni, dan rekreasi.

 

Pengarah Program, Wan Nur Camelia Wan Mohd Rozaini berkata, program itu bukan sekadar berkongsi ilmu, tetapi juga memberi peluang kepada sukarelawan untuk memahami budaya masyarakat Bateq dengan lebih dekat.

 

 

“Kami saling berkongsi ilmu, kami turut belajar daripada mereka. Pengalaman ini membuktikan bahawa pendidikan dan hubungan antara komuniti boleh terjalin melalui keikhlasan serta rasa hormat,” katanya.

 

Pegawai Pemantau Program, Amir Heiqal Rusli, berkata aktiviti yang dijalankan memberi peluang kepada peserta untuk merasai sendiri kehidupan masyarakat suku Bateq, termasuk berenang, bermain rakit buluh, dan meneroka sungai.

 

“Sungai ini bukan sekadar tempat bermain, tetapi sebahagian daripada kehidupan mereka. Keberanian dan kebolehan mereka luar biasa. Ini pengalaman berharga yang memberi perspektif baharu kepada semua” katanya.

 

Selain aktiviti luar, program ini turut menekankan aspek pendidikan bagi membantu anak-anak suku Bateq menguasai kemahiran asas pembelajaran.

 

 

Pelajar tahun tiga Bacelor Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, UPM, Nur Hidayah Abdul Halim, berkata program ini memberi impak positif apabila pelajar di Kelas A dan B sudah mampu membaca, menulis, dan mengira.

 

“Hasil usaha KRB jelas apabila ada dalam kalangan mereka yang sudah boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris. Sukarelawan juga menggunakan pendekatan kreatif bagi memastikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan,” katanya.

 

Dalam pada itu, program ini adalah satu langkah kecil ke arah perubahan yang lebih bermakna dalam menyokong pendidikan dan pembangunan komuniti ini, sekali gus mengukuhkan usaha ke arah pendidikan yang lebih inklusif.

Date of Input: 28/03/2025 | Updated: 28/03/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYEBCAq~