UPM Anjur Southeast Asia Climate Investment Summit 2024, Beri Pendedahan Pelaburan Iklim Dalam Ekonomi Negara | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM anjur Southeast Asia Climate Investment Summit 2024, beri pendedahan pelaburan iklim dalam ekonomi negara

UPM anjur Southeast Asia Climate Investment Summit 2024, beri pendedahan pelaburan iklim dalam ekonomi negara

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh:  Mohammad Izrul  Abdul Jabar

 

 

SERDANG, 26 Jun – Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Southeast Asia Climate Investment Summit 2024 baru-baru ini, bagi memberikan pendedahan mengenai kepentingan pelaburan iklim dalam ekonomi negara.

 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata persidangan ini memberi peluang kepada generasi muda untuk berkongsi pandangan berkenaan perubahan iklim dunia yang kini menjadi cabaran utama perniagaan untuk melaksanakan secara mesra alam.

 

“Ini juga menyediakan peluang kepimpinan untuk golongan muda untuk menangani perubahan iklim yang kini menjadi krisis pada generasi masa ini serta ini merupakan peluang untuk mempelajari kemahiran terkini serta melahirkan pakar dalam bidang ini,” katanya.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata persidangan yang julung kali diadakan ini secara langsung memberikan impak serta menetapkan penanda aras baharu dalam memajukan kelestarian dan penjagaan alam sekitar bagi mencapai matlamat kemampanan ekonomi.

 

 

“Ini juga adalah inisiatif perintis untuk menyatukan ahli akademik dan industri dalam bidang pelaburan iklim dan universiti turut menyepadukan prinsip ini secara konsisten bagi memupuk inisiatif tersebut untuk mengurangkan kesan kepada alam sekitar,” katanya.

 

Pengarah program Southeast Asia Climate, Muhd Farhan Abdul Rahman berkata, misi penganjuran persidangan ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran secara keseluruhan mengenai  pelaburan iklim dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

“Negara kini sedar kepentingan perubahan iklim terhadap landskap perniagaan yang sebenarnya memberi peluang kerjaya baharu terutamanya kepada graduan kerana menjadi keperluan di setiap pasaran pada masa kini,” katanya.

 

 

Selain itu, seramai 300 peserta dari pelbagai Universiti Awam (UA) di Malaysia dan Asia Tenggara telah menyertai persidangan tersebut.

Dalam pada itu, peridangan itu merupakan inisiatif SPE UPM dalam menyahut hasrat negara melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang kini ke arah melahirkan tenaga kerja yang mahir.

 

Sementara itu, Southeast Asia Climate Investment Summit 2024 turut mendapat kerjasama dari Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), UPM yang juga merupakan salah satu inisiatif untuk menyatukan ahli akademik dan industri dalam bidang pelaburan iklim serta memperkasakan pemimpin masa depan negara.

Date of Input: 26/06/2024 | Updated: 26/06/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXGeXAK~