SUSTAF 2025 Perkasa Budaya Sihat Dalam Kalangan Staf | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» NEWS » SUSTAF 2025 perkasa budaya sihat dalam kalangan staf

SUSTAF 2025 perkasa budaya sihat dalam kalangan staf

Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

 

SERDANG, 30 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh budaya sihat dalam kalangan staf menerusi Kejohanan Sukan Staf Universiti Putra Malaysia (SUSTAF) 2025 yang secara rasmi membuka tirai melalui Majlis Perasmian yang berlangsung semalam.

 

Majlis itu turut menyaksikan perarakan melibatkan lapan gabungan kontinjen yang mewakili pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) di seluruh UPM.

 

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, beliau berharap staf universiti terus aktif dan menjaga keselamatan sepanjang kejohanan serta menghargai peranan semua pihak dalam menjayakan acara rasmi penting universiti itu.

 

“Kita mahu kejohanan ini bebas daripada kecederaan serius. Jaga batas dan jaga kesihatan. Dengan trek serba baharu ini, kita harap dapat melihat rekod-rekod baharu tercipta oleh staf yang bertanding,” katanya.

 

 

Program anjuran bersama Pejabat Pendaftar dan Akademi Sukan ini bertujuan mengukuhkan hubungan antara staf melalui semangat kesukanan dengan pelbagai acara sukan dijadual berlangsung sepanjang kejohanan dari 30 Jun hingga 27 Julai ini.

 

Pendaftar UPM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Kebajikan Sukan Staf UPM, Muhazam Mansor, berkata kejohanan ini merupakan manifestasi komitmen universiti dalam memperkukuh budaya kecemerlangan staf secara holistik.

 

 

“SUSTAF bukan hanya memfokuskan kepada kecemerlangan kerja semata-mata, tetapi juga menitikberatkan kesejahteraan fizikal dan mental warga kampus. Ia menghubungkan staf menerusi semangat kesukanan yang murni serta memperkukuh silaturahim di semua peringkat,” katanya.

 

Turut hadir, Pengarah Akademi Sukan merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perasmian dan Pertandingan SUSTAF 2025, Prof. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban; Pengarah Bursar UPM, Siti Amira Shukor serta Timbalan Pengarah (Pengembangan Atlet dan Staf), Akademi Sukan, UPM, Muhamad Malik Ahmad Tobias.

 

Bagi acara perarakan, Gabungan 7 (G7) meraih gelaran juara dengan maskot Rimau dan moto “Bersatu Gagah”, diikuti Gabungan 8 (G8) selaku naib juara dengan maskot Red Scorpion dan moto “Satu Hati, Satu Misi, G8 Dominasi”, manakala Gabungan 5 (G5) di tempat ketiga dengan semangat “Lawan Tetap Lawan”.

 

 

Untuk kategori Lintas Hormat dan Kreativiti, G7 bukan sahaja muncul juara keseluruhan perarakan kontinjen, malah turut memenangi Anugerah Lintas Hormat & Kreativiti Terbaik serta Anugerah Tema dan Maskot Terbaik. Persembahan mereka menyerlah dengan pemakaian PPE sebagai simbol penghargaan kepada petugas barisan hadapan, diiringi van bergerak yang dihias kreatif bagi menonjolkan identiti dan peranan dalam bidang kesihatan.

 

Anugerah Keseragaman Pakaian Terbaik dimenangi G5, manakala Gabungan 1 (G1) memenangi kategori Kawad Terbaik dan Disiplin Terbaik.

 

Dalam pada itu, SUSTAF 2025 dijangka menjadi platform penting untuk memupuk gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan dalam kalangan warga kerja UPM melalui semangat kesukanan yang inklusif dan harmoni.

Date of Input: 01/07/2025 | Updated: 01/07/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYHBUAm~