Penyelidik UPM Perkenal Carilab, Pencetus Inovasi E-dagang Carian Makmal Berpusat | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» NEWS » Penyelidik UPM perkenal Carilab, pencetus inovasi e-dagang carian makmal berpusat

Penyelidik UPM perkenal Carilab, pencetus inovasi e-dagang carian makmal berpusat

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

PUTRAJAYA, 7 Ogos – Penyelidik di bawah Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan Carilab, platform e-dagang digital pertama di Malaysia yang menghubungkan penyedia perkhidmatan makmal dengan pengguna daripada sektor akademik, penyelidikan dan industri secara terus, berpusat dan sistematik.

 

Bagi memperkukuh impak inovasi ini, pemindahan teknologi dan pengkomersialan Carilab dimeterai melalui kerjasama strategik bersama Synchronetwork Sdn. Bhd., sebuah syarikat tempatan berpengalaman luas dalam pembangunan sistem digital, laman web dan pemasaran berasaskan data.

 

Kolaborasi ini dijangka menjadi pemangkin kepada pemerkasaan transformasi digital dalam ekosistem makmal saintifik negara menerusi pendekatan yang lebih cekap dan berskala.

 

Menurut pencipta inovasi tersebut, Dr. Nor Shafizah Ishak, Carilab merupakan sistem digital hak cipta UPM yang direka khusus untuk memadankan keperluan analisis bahan dan teknologi termaju dengan kapasiti makmal sedia ada di seluruh negara.

 

“Ini memperkasa pengurusan makmal secara lebih cekap, responsif dan profesional. Carilab turut berperanan sebagai jambatan digital yang memperluas capaian kepada perkhidmatan makmal teknologi bahan dan nano, sekali gus menyokong usaha pengkomersialan inovasi penyelidikan tempatan ke pasaran yang lebih luas,” katanya.

 

Tambah beliau, inovasi ini tampil sebagai penyelesaian digital menyeluruh dengan pelbagai ciri pintar, memandangkan masih banyak perkhidmatan makmal yang bergantung kepada proses manual dan tidak berpusat.

 

“Antaranya termasuklah tempahan perkhidmatan secara automatik dan tersusun, pemantauan status ujian secara masa nyata, serta akses kendiri oleh pengguna dari mana-mana lokasi.

 

“Platform ini juga membolehkan pengguna mencari makmal berdasarkan keperluan analisis tertentu, sekali gus menjimatkan masa, mengurangkan kesilapan komunikasi dan mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan,” katanya.

 

Dr. Nor Shafizah turut menjelaskan bahawa sistem padanan pintar yang dibangunkan dalam platform ini berupaya mencadangkan makmal yang bersesuaian berdasarkan keperluan teknikal pengguna.

 

“Ini menjadikan Carilab lebih mesra pengguna dan responsif terhadap permintaan industri yang semakin kompleks,” katanya.

 

Selain itu, pembangunan Carilab selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Bahan Termaju Negara 2021–2030 yang menekankan keperluan kepada infrastruktur dan sistem sokongan menyeluruh bagi mempercepat pembangunan bahan berprestasi tinggi.

 

Dalam konteks teknologi nano, Carilab turut menyumbang secara langsung kepada Pelan Hala Tuju Teknologi Produk Nano Negara dengan mempercepat proses padanan antara keperluan analisis bahan nano dan fasiliti makmal tempatan.

 

Melalui pendigitalan proses tempahan, rekod dan penjejakan data ujian, platform ini membantu mempercepatkan pembangunan teknologi dari peringkat penyelidikan ke pasaran, sekaligus menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi negara.

 

Dalam pada itu, Carilab memberi manfaat kepada penyelidik, pengusaha industri dan agensi kerajaan mendapatkan akses kepada perkhidmatan makmal saintifik secara lebih mudah, berpusat dan pantas.

 

 

Date of Input: 08/08/2025 | Updated: 08/08/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYIIVAU~