Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 18 Sept – Pasukan Aero-Rocketry, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengharumkan nama negara apabila menerima plak perak dengan gelaran “Most Inspiring Team” pada Pertandingan Roket TEKNOFEST di Turkiye, baru-baru ini.
Pertandingan anjuran TEKNOFEST Turkiye dengan kerjasama syarikat pertahanan Roketsan itu melibatkan Kategori A4 (Altitud Sederhana), iaitu kategori antarabangsa yang memerlukan peserta memasang roket dalam tempoh dua hari menggunakan propelan yang disediakan di tapak pertandingan.
Pasukan yang terdiri daripada sepuluh pelajar itu melakar sejarah apabila menjadi antara pasukan pertama dari Malaysia yang berjaya layak ke pusingan akhir Pertandingan Roket Antarabangsa TEKNOFEST.
Pertandingan anjuran Teknofest Turkiye bersama syarikat pertahanan Roketsan itu melibatkan Kategori A4 (Altitud Sederhana), iaitu kategori antarabangsa yang memerlukan peserta memasang roket dalam tempoh dua hari dengan propelan yang disediakan di tapak pertandingan.
Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, UPM, Dr. Ezanee Gires, berkata pasukan tersebut terdiri daripada pelajar tahun kedua, ketiga dan akhir Fakulti Kejuruteraan.
“Roket yang dibangunkan adalah hasil kerja dalaman sepenuhnya oleh pasukan, meliputi reka bentuk dan fabrikasi badan roket menggunakan teknik hand layup, reka bentuk asal sistem avionik serta reka bentuk kompleks muatan (payload) dengan pelbagai sensor,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman ini akan menjadi aset penting dalam kerjaya para pelajar serta menyumbang kepada kepakaran Malaysia dalam teknologi roket dan angkasa.
“Pendedahan kepada acara berprestij sebegini mampu memupuk minat generasi muda terhadap inovasi dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai teknologi canggih,” katanya.
Ketua Kumpulan, Khisho Nathan Pathmanathan, berkata meskipun berdepan kekangan sumber, pasukan tetap berjaya menghasilkan roket yang berfungsi sepenuhnya dalam ruang kerja terhad.
“Roket tersebut diluluskan untuk pelancaran selepas memenuhi kriteria ketat, khususnya dalam aspek operasi avionik,” katanya.
Barisan ahli pasukan antaranya, Ray Anselm, Sim Ren Jin, Tee Ding Keat, Ananta Kumaar Puspanathan, Syed Sulaiman Syed Mohd Ameer Ali, Vimal Sarminra V Ramesh, Soo Ze Yang dan Naimul Hoque Nayan.
Date of Input: 18/09/2025 | Updated: 18/09/2025 | eszereen
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA