Teknologi Pintar Bantu Petani Jimat Air, Kekal Hasil Tanaman | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTICLE » Teknologi pintar bantu petani jimat air, kekal hasil tanaman

Teknologi pintar bantu petani jimat air, kekal hasil tanaman

Article Summary
Musim panas melampau dan corak hujan yang semakin tidak menentu menuntut sektor pertanian menggunakan teknologi serta data secara lebih strategik bagi memastikan tanaman mendapat bekalan air mencukupi tanpa berlaku pembaziran.


 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

SERDANG, 28 Ogos- Musim panas melampau dan corak hujan yang semakin tidak menentu menuntut sektor pertanian menggunakan teknologi serta data secara lebih strategik bagi memastikan tanaman mendapat bekalan air mencukupi tanpa berlaku pembaziran.

 

 

Ketua Jabatan Teknologi Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Gs. Dr. Siva K. Balasundram, berkata peningkatan suhu boleh memberi kesan ketara terhadap tanaman dan hasil pertanian, khususnya pada peringkat pertumbuhan yang kritikal.

 

 

Menurut beliau, tanaman padi antara yang terdedah kepada kesan suhu tinggi apabila suhu melebihi kira-kira 35 darjah celsius ketika peringkat pembungaan kerana boleh menjejaskan proses pendebungaan dan menyebabkan lebih banyak biji padi tidak terbentuk dengan sempurna.

 

 

“Suhu malam juga penting kerana kajian yang dirujuk oleh International Rice Research Institute (IRRI) menunjukkan hasil padi boleh menurun sehingga sekitar 10 peratus bagi setiap kenaikan satu darjah celsius suhu minimum malam.

 

 

“Walaupun angka sebenar bergantung kepada varieti, lokasi dan keadaan air, suhu yang menghampiri 35 darjah celsius dan ke atas pada peringkat kritikal seperti pembungaan boleh menjejaskan pembentukan hasil,” katanya.

 

 

Beliau berkata, cabaran petani ketika cuaca panas bukan sekadar peningkatan suhu, sebaliknya turut melibatkan ketersediaan air dan masa yang sesuai untuk pengairan.

 

 

“Apabila suhu meningkat air dalam tanah hilang dengan lebih cepat, menyebabkan tanaman memerlukan lebih banyak air. Pada masa sama hujan yang tidak menentu menyukarkan petani menentukan bila dan berapa banyak air yang perlu diberikan kepada tanaman,” katanya.

 

 

Tambah beliau, penggunaan sensor kelembapan tanah, suhu, kelembapan udara serta sistem ramalan cuaca dapat membantu petani menentukan keperluan pengairan berdasarkan keadaan sebenar tanaman dan tanah.

 

 

“Kalau kita ada sensor kita kena berjinak dengan data dan teknologi. Kita boleh menggabungkan kelembapan tanah, suhu atau kelembapan udara dan ramalan hujan untuk menentukan bila perlu mengairi dan berapa banyak air yang diperlukan,” katanya.

 

 

Prof. Gs. Dr. Siva berkata, teknologi tersebut berpotensi mengurangkan penggunaan air tanpa menjejaskan keperluan tanaman.

 

 

“Dalam satu kajian yang menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) dan diterbitkan pada 2025, penggunaan air dilaporkan berkurang sekitar 30 peratus berbanding pengairan konvensional sambil mengekalkan kelembapan tanah pada tahap optimum,” katanya.

 

 

Tambah beliau, sistem pengairan automatik juga boleh disesuaikan berdasarkan data sensor dan ramalan cuaca bagi mengelakkan pengairan dilakukan secara berlebihan.

 

 

“Jika sensor menunjukkan kelembapan tanah masih mencukupi dan ramalan menunjukkan hujan akan turun, sistem boleh menangguhkan pengairan. Sebaliknya, jika kelembapan tanah menghampiri tahap kritikal dan suhu tinggi dijangka berterusan, sistem boleh mengairi lebih awal,” katanya.

 

 

Mengulas penggunaan rumah hijau pintar, Prof. Gs. Dr. Siva berkata, teknologi berkenaan tidak semestinya menjadikan persekitaran tanaman lebih sejuk sekiranya aspek pengudaraan, teduhan serta sistem kabus atau semburan tidak dikawal dengan baik.

 

 

“Rumah hijau bukan semestinya lebih sejuk. Kalau pengudaraan, teduhan atau sistem kabus tidak dikawal dengan baik, suhu di dalam struktur boleh menjadi lebih tinggi daripada di luar,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, petani tidak semestinya perlu terus melabur dalam teknologi mahal seperti dron, robot dan sistem kecerdasan buatan (AI), sebaliknya boleh memulakan penggunaan teknologi secara berperingkat mengikut skala dan kemampuan ladang.

 

 

 

“Tidak semua petani perlu terus membeli dron, robot atau sistem AI yang mahal kerana mungkin tidak logik dan tidak mampu untuk membeli semua teknologi tersebut.

 

 

“Kita boleh bina strategi berdasarkan tahap digitalisasi yang bersasar, bermula dengan sensor kelembapan tanah, suhu, kelembapan relatif dan stesen cuaca mini berskala kecil,” katanya.

 

 

Prof. Gs. Dr. Siva berkata, apabila sistem asas berkenaan sudah tersedia, data yang dikumpulkan boleh digabungkan dengan maklumat cuaca dan keperluan air tanaman sebelum disambungkan kepada sistem pengairan seperti pengairan titis dan pam bagi membolehkan tindakan dilakukan secara automatik.

 

 

“Kalau kita dah sampai ke tahap ini, barulah kita boleh fikir tentang IoT, satelit, dron dan AI untuk mengesan stres tanaman. Pendekatan ini juga bergantung kepada skala petani.

 

 

“Untuk ladang besar, pendekatannya lebih mungkin kepada satelit dan sebagainya, tetapi kalau skala kecil, petani boleh menggunakan ground sensor dan teknologi yang bersesuaian,” katanya.

Date of Input: 28/08/2026 | Updated: 28/08/2026 | zarithsofea

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZIcUAb~