Article Summary
Projek penyelidikan saya tidak melibatkan penggunaan bahan buangan. Namun, saya melihat masih terdapat ruang untuk meneroka penggunaan sisa seperti botol kaca dan kulit telur sebagai bahan alternatif dalam bidang pergigian.
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain
Botol kaca dan kulit telur terpakai yang lazimnya dibuang sebagai sisa domestik kini diteroka sebagai bahan alternatif bagi penghasilan bahan tampalan gigi, sekali gus membuka peluang mengurangkan kebergantungan terhadap bahan konvensional yang lebih mahal dalam industri pergigian.
Inisiatif itu diteroka oleh pelajar Tahun Empat Bacelor Sains Fizik Bahan, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Alif Nazrulullah Jamil, menerusi penyelidikan yang memfokuskan kesan penambahan nanopartikel zirkonia terhadap struktur bahan yang dihasilkan.
Menurutnya, penyelidikan itu bermula daripada pemerhatian terhadap penggunaan bahan dalam rawatan tampalan gigi sebelum beliau melihat potensi bahan buangan seperti botol kaca dan kulit telur untuk dimanfaatkan semula.
“Pada asalnya, projek penyelidikan saya tidak melibatkan penggunaan bahan buangan. Namun, saya melihat masih terdapat ruang untuk meneroka penggunaan sisa seperti botol kaca dan kulit telur sebagai bahan alternatif dalam bidang pergigian.
“Saya berharap bahan buangan ini dapat dimanfaatkan semula, sekali gus mengurangkan jumlah sisa yang dibuang ke persekitaran,” katanya.
Dalam penyelidikan itu, kulit telur diproses melalui kaedah pembakaran bagi menghasilkan bahan berasaskan kalsium sebelum dihancurkan dan diayak menggunakan penapis bersaiz 45 mikron untuk mendapatkan saiz serbuk yang lebih seragam.
Botol kaca terpakai pula dihancurkan sehingga menjadi serbuk sebelum kedua-dua bahan digabungkan mengikut komposisi tertentu.
Campuran itu kemudiannya dipanaskan dalam relau sehingga cair sebelum melalui proses penyejukan pantas (rapid cooling) bagi menghasilkan kepingan kaca yang seterusnya dihancurkan semula menjadi serbuk untuk tujuan pengujian.
Beliau berkata, bahan yang dihasilkan akan melalui beberapa ujian makmal, termasuk penilaian kekuatan dan ketumpatan bagi menentukan ciri serta kesesuaiannya untuk aplikasi yang disasarkan.
“Dapatan awal penyelidikan menunjukkan penggunaan bahan buangan berpotensi menghasilkan bahan dengan kekuatan yang setanding dengan bahan berasaskan zirkonia, walaupun penggunaan bahan tersebut dikurangkan.

“Harapan saya agar penyelidikan ini dapat membuka peluang kepada penggunaan bahan alternatif dalam industri pergigian, khususnya untuk membantu mengurangkan kos bahan mentah.
“Pada masa sama, kita dapat memanfaatkan bahan buangan yang sebelum ini dianggap tidak bernilai dan menyumbang kepada penjagaan alam sekitar,” katanya.
Mengulas minatnya dalam bidang fizik, beliau berkata kecenderungan untuk memahami fenomena dalam kehidupan seharian mendorongnya memilih bidang itu, termasuk persoalan tentang sifat dan kekuatan sesuatu bahan.
Malah, pengalaman menjalani rawatan tampalan gigi turut mencetuskan rasa ingin tahu tentang bahan yang digunakan serta bagaimana bahan berkenaan dapat menghasilkan tampalan yang kuat.
Persoalan itu akhirnya menjadi inspirasi kepada penyelidikannya yang menggabungkan minatnya terhadap fizik dengan usaha meneroka penggunaan bahan buangan untuk aplikasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Date of Input: 11/11/2026 | Updated: 11/11/2026 | syamilakamarul

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA