Bajet 2027 Perkukuh Pembangunan Infrastruktur, Modal Insan Dan Ekonomi Sarawak | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTICLE » Bajet 2027 perkukuh pembangunan infrastruktur, modal insan dan ekonomi Sarawak

Bajet 2027 perkukuh pembangunan infrastruktur, modal insan dan ekonomi Sarawak

Article Summary
Belanjawan 2027 berpotensi memperkukuh pembangunan sosioekonomi Sarawak menerusi kesinambungan pelaburan dalam infrastruktur strategik, peluasan akses pendidikan tinggi, pembangunan tenaga kerja berkemahiran serta sokongan kepada perusahaan tempatan. Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pendanaan dan Siswazah), Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Dr. Shairilizwan Taasim berkata, keselarasan antara dasar Kerajaan Persekutuan dengan inisiatif Kerajaan Sarawak penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat, termasuk penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar.


Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 23 Okt – Belanjawan 2027 berpotensi memperkukuh pembangunan sosioekonomi Sarawak menerusi kesinambungan pelaburan dalam infrastruktur strategik, peluasan akses pendidikan tinggi, pembangunan tenaga kerja berkemahiran serta sokongan kepada perusahaan tempatan.

 

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pendanaan dan Siswazah), Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Dr. Shairilizwan Taasim berkata, keselarasan antara dasar Kerajaan Persekutuan dengan inisiatif Kerajaan Sarawak penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat, termasuk penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar.

 

“Pertambahan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2027 merupakan langkah yang melengkapi Free Tertiary Education Scheme (FTES) yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak.

 

“FTES membuka peluang kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian tinggi secara percuma di universiti milik Kerajaan Negeri, khususnya dalam bidang kritikal yang memenuhi keperluan pembangunan dan pasaran tenaga kerja negeri.

 

“Pada masa yang sama, pertambahan tawaran tajaan JPA memberikan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi pilihan mereka, sama ada di dalam atau di luar Sarawak,” katanya.

 

Kedua-dua inisiatif itu bukan sahaja berpotensi mengurangkan beban kewangan keluarga, malah dapat meningkatkan mobiliti sosial, melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi serta memperkukuh daya saing modal insan Sarawak.

 

Mengulas pembangunan Zon Ekonomi Khas Sibu, Dr. Shairilizwan berkata, inisiatif itu berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan, perdagangan dan perindustrian, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab ekonomi utama di Borneo.

 

“Pembangunan zon berkenaan juga dijangka menghasilkan kesan limpahan ekonomi ke kawasan sekitarnya seperti Mukah dan Sarikei termasuk kawasan desa melalui pewujudan peluang pekerjaan, perkembangan perusahaan tempatan serta peningkatan pendapatan masyarakat,” katanya.

 

Beliau berkata, Zon Ekonomi Khas Sibu berpotensi melengkapi usaha pembangunan ekonomi sedia ada, termasuk Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE), dengan memperluas pertumbuhan ekonomi ke wilayah tengah Sarawak.

 

“Namun keberkesanannya bergantung pada penyediaan kerangka insentif yang sesuai, pemudahcaraan pelaburan yang cekap serta pembangunan infrastruktur strategik bagi menarik pelabur domestik dan asing,” katanya.

 

Dalam aspek pembangunan infrastruktur, Dr. Shairilizwan berkata kesinambungan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo dan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) sebagai langkah penting untuk meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

 

“Kekangan jaringan pengangkutan darat akibat faktor geografi dan bentuk muka bumi yang mencabar telah menyukarkan pergerakan penduduk serta aktiviti ekonomi di beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah.

 

“Pembangunan rangkaian jalan raya yang lebih baik dapat memudahkan mobiliti penduduk, mempercepat pergerakan barangan serta mengurangkan kebergantungan terhadap pengangkutan udara bagi laluan yang boleh dihubungkan melalui darat,” katanya.

 

Tambah beliau, dalam jangka panjang, kemudahan ini bukan sahaja berpotensi merancakkan perdagangan dan pelaburan, malah memperluas akses kepada peluang pekerjaan dan perkhidmatan asas, sekali gus merapatkan jurang pembangunan sosioekonomi antara bandar dengan desa,” katanya.

 

“Jaringan pengangkutan darat yang lebih cekap turut membantu mengurangkan kos logistik dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, sekali gus memperkukuh daya saing industri serta perusahaan tempatan,” katanya.

 

Dalam pada itu, peruntukan RM350 juta bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan yang dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4 di Sabah dan Sarawak dilihat sebagai peluang untuk memperluas penyertaan kontraktor kecil dan sederhana dalam projek Kerajaan.

 

Dr. Shairilizwan berkata, pengkhususan tersebut penting bagi membuka ruang kepada kontraktor tempatan yang sering berhadapan persaingan daripada syarikat lebih besar, khususnya dalam mendapatkan projek penyelenggaraan jalan dan kerja pembinaan berskala kecil serta sederhana.

 

“Bagi memastikan manfaat peruntukan ini dapat dirasai secara meluas, pengagihan projek perlu dilaksanakan secara seimbang antara daerah, di samping menyediakan ruang untuk pembangunan kapasiti kontraktor tempatan.

 

“Kontraktor di kawasan seperti Kapit, Mukah, Sri Aman, Limbang dan Lawas perlu diberikan peluang yang adil untuk menyertai projek bersesuaian dengan kelayakan masing-masing,” katanya.

 

Pemantauan terhadap keberhasilan ekonomi juga penting bagi memastikan peruntukan tersebut menghasilkan kesan pengganda fiskal melalui peningkatan aktiviti perniagaan, peluang pekerjaan dan peredaran wang dalam ekonomi setempat.

 

Selain pembangunan infrastruktur dan ekonomi, beliau berkata sektor penjagaan warga emas juga perlu diberi perhatian bagi menghadapi peningkatan populasi menua di Sarawak. Usaha ini bukan sahaja dapat membuka peluang ekonomi baharu, malah membantu mengurangkan penghijrahan tenaga kerja muda ke luar Sarawak.

 

“Inisiatif melatih 8,000 tenaga kerja dalam bidang penjagaan warga emas berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu selain menjadikan sektor itu sebagai pilihan kerjaya kepada golongan muda.

 

“Pembangunan Sarawak tidak boleh hanya berorientasikan pergerakan barangan dan pertumbuhan industri, sebaliknya perlu turut mengambil kira mobiliti manusia, akses kepada perkhidmatan asas dan kesejahteraan warga emas,” katanya.

 

Beliau berkata, secara keseluruhannya, sinergi antara Belanjawan 2027 dengan inisiatif Kerajaan Sarawak berpotensi memperkukuh pembangunan ekonomi negeri melalui peningkatan infrastruktur, daya saing industri, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

 

“Keselarasan dasar dan peruntukan perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih inklusif serta mampan, khususnya oleh masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak,” katanya.

Date of Input: 06/11/2026 | Updated: 06/11/2026 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLRGAv~