Article Summary
Ibu bapa disaran tidak menilai tahap jerebu berdasarkan keadaan langit atau jarak penglihatan semata-mata kerana zarah halus PM2.5 yang menjadi antara pencemar utama boleh berada di udara tanpa dapat dilihat dengan mata kasar, sekali gus meningkatkan risiko terhadap kesihatan bayi dan kanak-kanak.
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Ibu bapa disaran tidak menilai tahap jerebu berdasarkan keadaan langit atau jarak penglihatan semata-mata kerana zarah halus PM2.5 yang menjadi antara pencemar utama boleh berada di udara tanpa dapat dilihat dengan mata kasar, sekali gus meningkatkan risiko terhadap kesihatan bayi dan kanak-kanak.
Ketika beberapa kawasan di Malaysia kini merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat akibat jerebu, golongan kanak-kanak perlu diberi perhatian khusus kerana paru-paru dan sistem imun mereka masih dalam proses perkembangan. Pada 10 September, 11 kawasan dilaporkan mencatat bacaan IPU tidak sihat, termasuk beberapa kawasan di Sarawak serta Batu Muda, Kuala Lumpur, Johor.
Menurut Timbalan Dekan (Akademik Perubatan), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Intan Hakimah Ismail PM2.5, zarah halus berukuran kurang daripada 2.5 mikron, kira-kira 30 kali lebih kecil daripada diameter sehelai rambut.
Disebabkan saiznya yang mikroskopik, zarah ini mampu melepasi benteng pertahanan hidung, masuk jauh ke dalam paru-paru hingga ke bahagian alveoli dan seterusnya boleh memasuki aliran darah.
“Pendedahan kepada PM2.5 boleh menyebabkan kerengsaan saluran pernafasan, batuk, hidung dan tekak tidak selesa serta mencetuskan atau memburukkan gejala seperti wheezing dan asma dalam kalangan kanak-kanak. Pendedahan berpanjangan juga dikaitkan dengan kesan terhadap perkembangan dan fungsi paru-paru kanak-kanak.
“Risiko berkenaan lebih membimbangkan bagi bayi dan kanak-kanak kerana mereka bernafas lebih cepat dan menyedut lebih banyak udara berbanding orang dewasa jika diambil kira mengikut berat badan. Kanak-kanak yang aktif bermain atau bersukan di luar pula akan bernafas lebih laju, sekali gus meningkatkan jumlah udara tercemar yang disedut ke dalam paru-paru.
“Pada bacaan IPU tidak sihat, khususnya apabila mencapai paras seperti 170, aktiviti luar yang melibatkan pergerakan lasak seperti berlari, bermain bola, berbasikal, bersukan atau bermain lama di taman permainan sebaik-baiknya dielakkan oleh kanak-kanak,” katanya.
Beliau menyaranakan Ibu bapa mengehadkan aktiviti luar yang tidak diperlukan dan menggantikannya dengan aktiviti dalam rumah yang lebih tenang. Bagi bayi, aktiviti rekreasi di luar juga wajar dielakkan sekiranya tidak diperlukan ketika keadaan kualiti udara tidak sihat.
“Di rumah, ibu bapa boleh mengurangkan pendedahan anak dengan menutup pintu dan tingkap ketika berjerebu, menggunakan penghawa dingin dalam mod kitaran semula udara serta menggunakan penapis udara mudah alih yang dilengkapi penapis berkecekapan tinggi seperti HEPA.
“Selain itu, pencemaran udara dalaman juga perlu diberi perhatian dengan mengelakkan asap rokok atau vape, pembakaran lilin atau colok serta aktiviti memasak yang menghasilkan banyak asap.
Beliau berkata, sekiranya anak perlu dibawa keluar, tempoh pendedahan perlu dipendekkan dan aktiviti lasak dielakkan. Ibu bapa juga disaran memandikan anak, membasuh rambut dan menukar pakaian sebaik sahaja pulang ke rumah.
Dalam pada itu, anatara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk mata pedih atau berair, hidung berair atau tersumbat, bersin, tekak tidak selesa dan batuk.
“Bagi kanak-kanak yang mempunyai asma, ibu bapa perlu memantau jika batuk semakin kerap, mengalami wheezing atau memerlukan inhaler pelega lebih kerap daripada biasa.
“Pemeriksaan perubatan perlu dilakukan sekiranya gejala berterusan atau semakin teruk, terutama bagi kanak-kanak yang mempunyai asma atau penyakit paru-paru dan jantung sedia ada.
“Ibu bapa perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya anak mengalami kesukaran bernafas seperti bernafas sangat laju, dada tertarik ke dalam ketika bernafas, wheezing yang teruk, sukar bercakap atau menyusu akibat sesak nafas, kelihatan sangat lemah atau mengantuk, kurang minum dan tidak aktif seperti biasa, atau bibir kelihatan kebiruan.
Tambahnya, perubahan seperti kurang menyusu, pernafasan lebih cepat daripada biasa, dada tertarik ke dalam ketika bernafas, terlalu mengantuk atau kurang responsif daripada kebiasaan perlu diberi perhatian segera kerana bayi belum mampu memberitahu apabila mereka mengalami kesukaran bernafas.
Justeru, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak menunggu sehingga langit kelihatan sangat berjerebu sebelum mengambil langkah berjaga-jaga. Pemantauan bacaan IPU semasa, pengurangan aktiviti luar dan perhatian terhadap sebarang perubahan pada pernafasan atau keadaan kesihatan anak merupakan langkah penting bagi mengurangkan risiko akibat pendedahan kepada pencemaran udara.
Date of Input: 14/10/2026 | Updated: 14/10/2026 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA