Sisa Kopi Berpotensi Jadi Bahan Untuk Kurangkan Sel Kanser | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTICLE » Sisa Kopi Berpotensi Jadi Bahan untuk Kurangkan Sel Kanser

Sisa Kopi Berpotensi Jadi Bahan untuk Kurangkan Sel Kanser

Article Summary
Saya mendapatkan serbuk kopi terpakai daripada pihak kedai untuk digunakan dalam penyelidikan. Bahan yang biasanya dianggap sebagai sisa itu kemudiannya diproses untuk menghasilkan karbon kuantum dot.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain

 

 

Sisa serbuk kopi yang lazimnya dibuang selepas penyediaan minuman kini diteroka sebagai bahan asas penghasilan karbon kuantum dot (carbon quantum dots), sejenis nanobahan yang berpotensi dikembangkan untuk aplikasi penghantaran ubat antikanser bersasar.

 

Penyelidikan oleh pelajar Sarjana Sains Fizik Bahan, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Shammin Azzahani Shammas, 25, itu mengetengahkan pendekatan mengubah bahan buangan harian kepada bahan bernilai tambah menerusi teknologi berskala nano.

 

“Saya mendapatkan serbuk kopi terpakai daripada pihak kedai untuk digunakan dalam penyelidikan. Bahan yang biasanya dianggap sebagai sisa itu kemudiannya diproses untuk menghasilkan karbon kuantum dot.

 

“Sebenarnya, pelbagai bahan buangan organik lain juga berpotensi digunakan untuk menghasilkan bahan ini, termasuk kulit pisang dan kulit tembikai,” katanya.

 

Beliau berkata, karbon kuantum dot merupakan zarah karbon bersaiz kurang daripada 10 nanometer yang terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar dan memerlukan mikroskop khas bagi mengkaji ciri serta strukturnya.

 

Dalam penyelidikan itu, beliau turut menggunakan Polyethylene glycol (PEG)  sebagai bahan salutan (coating) bagi karbon kuantum dot yang dihasilkan.

 

Menariknya, proses penghasilan bahan tersebut menggunakan kaedah gelombang mikro (microwave) yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit, sekali gus menawarkan alternatif lebih pantas berbanding kaedah hidroterma (hydrothermal) yang boleh mengambil masa sehingga 24 jam.

 

 

Menurutnya, pemilihan kaedah gelombang mikro itu bertujuan memendekkan tempoh pemprosesan dan meningkatkan kecekapan penghasilan bahan.

 

“Melalui kaedah gelombang mikro, saya hanya memerlukan kira-kira lima minit untuk menghasilkan karbon kuantum dot. Saya melihat kelebihan ini sebagai satu potensi yang boleh diteroka sekiranya proses penghasilannya dikembangkan untuk kegunaan industri pada masa hadapan,” katanya.

 

Dari segi aplikasi, penyelidikan itu memberi tumpuan kepada potensi karbon kuantum dot dalam sistem penghantaran ubat bersasar (targeted drug delivery), khususnya sebagai bahan pembawa ubat antikanser ke kawasan sasaran seperti tisu tumor.

 

Idea tersebut diinspirasikan daripada kajian terdahulu yang meneroka penggunaan karbon kuantum dot bersama ubat antikanser bagi aplikasi berkaitan tumor.

 

 

 

Bagaimanapun, penyelidikan berkenaan masih berada pada peringkat penghasilan dan pencirian bahan bagi mengenal pasti sifat serta ciri karbon kuantum dot yang dihasilkan sebelum kesesuaiannya untuk aplikasi bioperubatan dapat dikaji dengan lebih lanjut.

 

Beliau berharap penyelidikan itu dapat dikembangkan pada masa hadapan melalui kerjasama dengan pihak industri dan institusi perubatan, sekali gus membuka ruang kepada penerokaan bahan berasaskan sisa organik dalam bidang nanoteknologi.

 

“Saya berharap hasil penyelidikan ini tidak hanya terhenti di makmal, sebaliknya dapat dikembangkan sehingga memberi manfaat kepada masyarakat.

 

“Jika ada syarikat atau institusi perubatan yang berminat untuk meneroka potensi penyelidikan ini, saya berharap ia dapat menyumbang kepada usaha mencari pendekatan baharu dalam bidang rawatan kanser pada masa hadapan,” katanya.

Date of Input: 05/11/2026 | Updated: 05/11/2026 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLFVA7~