PENGGUNAAN RACUN SINTETIK DALAM AKTIVITI PERTANIAN | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » PENGGUNAAN RACUN SINTETIK DALAM AKTIVITI PERTANIAN

PENGGUNAAN RACUN SINTETIK DALAM AKTIVITI PERTANIAN

Article Summary
Aktiviti pertanian untuk makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan semakin mendapat tempat di hati rakyat. Sebagai contoh, laman ‘Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri’ yang menyediakan platform untuk pekebun bandar berkongsi teknik berkebun di halaman rumah sudah mempunyai lebih 500,000 pengikut di laman sesawang Facebook. Tidak kurang juga graduan-graduan universiti yang memilih aktiviti pertanian sebagai kerjaya mereka.


**This article was published in Bahasa Melayu and has no translation in English

by Dr. Noor Hafizah Mohd Pushiri

Aktiviti pertanian untuk makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan semakin mendapat tempat di hati rakyat. Sebagai contoh, laman ‘Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri’ yang menyediakan platform untuk pekebun bandar berkongsi teknik berkebun di halaman rumah sudah mempunyai lebih 500,000 pengikut di laman sesawang Facebook. Tidak kurang juga graduan-graduan universiti yang memilih aktiviti pertanian sebagai kerjaya mereka.

Kebergantungan dan peningkatan minat terhadap aktiviti pertanian merupakan perkara yang amat baik. Melalui peningkatan ini, negara akan kurang bergantung kepada hasil import pertanian bagi menampung keperluan rakyat, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi para petani. Tambahan pula, peningkatan ini akan membantu negara mencapai Matlamat ke-12 dalam Matlamat Pembangunan Mampan, iaitu Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab.

Namun, peningkatan aktiviti pertanian ini juga akan meningkatkan penggunaan racun sintetik yang sukar terurai secara semulajadi dan ini boleh mengakibatkan masalah pencemaran alam sekitar. Sebagai contoh, pada tahun 2015, media massa telah melaporkan tentang isu pencemaran sungai Bertam dan sungai Terla di Cameron Highlands dengan racun sintetik akibat penggunaan secara haram dan berlebihan oleh para petani. Pada tahun 2019 sekali lagi media massa melaporkan bahawa penggunaan racun sintetik di Cameron Highlands masih tinggi.

Oleh sebab itu, penggunaan racun sintetik ini perlulah dikurangkan ke tahap minimum atau tidak digunakan langsung dan sebaliknya menggunakan alternatif lain seperti racun organik atau kawalan biologi. Tambahan pula, cara penggunaan racun sintetik ini yang rata-ratanya melalui proses semburan akan mengakibatkan racun ini tersebar ke kawasan lain melalui udara. Racun yang menyerap masuk ke dalam tanah juga boleh tersebar ke sungai-sungai melalui air dalam tanah dan seterusnya ke laut.

Racun yang tersebar ke tanah akan diserap oleh tumbuhan yang akan dimakan oleh haiwan seperti kambing. Kambing kemudiannya akan dimakan oleh manusia, menyebabkan racun tersebut akhirnya terkumpul di dalam badan manusia. Ibu yang mengandung atau menyusukan anak pula akan menyalurkan racun tersebut ke anaknya.

Begitu juga dengan racun yang tersebar ke sungai dan laut akan menyerap masuk ke dalam hidupan air seperti udang dan ikan, yang akhirnya akan dimakan oleh manusia dan mengakibatkan pengumpulan racun tersebut di dalam badan manusia.

Racun sintetik ini telah dibuktikan boleh mengakibatkan masalah kesihatan kepada manusia, termasuk boleh membawa maut. Oleh sebab itu, sebahagian racun yang telah dikenal pasti sebagai toksik seperti DDT dan lindane telah diharamkan atau dihadkan penggunaannya. Namun begitu, oleh kerana racun ini tidak mudah terurai secara semulajadi, racun ini masih wujud di persekitaran walaupun selepas berpuluh tahun.

Pada masa ini, para saintis sedang berusaha untuk mencari jalan terbaik bagi menghilangkan sisa racun ini dari alam sekitar. Salah satu cara untuk membersihkan racun ini dengan selamat adalah melalui bioremediasi, iaitu proses penguraian bahan pencemar dari persekitaran dengan memanipulasi aktiviti biodegradasi oleh bakteria.

Namun begitu, proses ini tidaklah mudah. Para saintis perlu mengenal pasti kawasan yang tercemar dengan racun, mengenal pasti dan memahami bakteria yang boleh menguraikan racun tersebut, memahami proses penguraian racun tersebut, dan akhirnya memilih kaedah yang terbaik untuk mengaplikasikan bakteria tersebut ke kawasan yang tercemar. Selain itu, mereka juga perlu mengambil kira kebarangkalian sekiranya ada bahan lain yang dirembeskan oleh bakteria tersebut atau aspek lain yang muncul daripada proses pembersihan ini yang akan mengakibatkan pencemaran baharu ke persekitaran.

Sudah tentu, masa yang diambil untuk proses ini adalah panjang. Sebagai contoh, walaupun penggunaan lindane telah lama dihadkan secara tegas dari tahun 1980an lagi, namun dunia masih dicemari oleh racun ini dan para saintis masih membuat penyelidikan bagi mencari jalan yang terbaik untuk menghapuskan racun ini dari alam sekitar.

Oleh yang demikian, adalah amat penting bagi kita semua, terutamanya para petani yang menggunakan racun sintetik, supaya mengurangkan penggunaan racun ini ke tahap yang paling minimum. Adalah lebih baik lagi sekiranya kita dapat menggunakan racun jenis bukan sintetik yang mudah terurai dan kurang memberikan impak negatif kepada alam sekitar.

Kesedaran tentang bahaya penggunaan racun sintetik dalam aktiviti pertanian adalah penting agar ia tidak disalah guna secara berlebihan kerana ini akan memberikan  masalah kepada kita di kemudian hari.

 

 

Dr. Noor Hafizah Mohd Pushiri 
Pensyarah Kanan,
Jabatan Alam Sekitar 
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar 
Universiti Putra Malaysia 
Bidang kepakaran: Bioremediasi Alam Sekitar
Emel: noorfizah@upm.edu.my

Date of Input: 25/09/2020 | Updated: 25/09/2020 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLVUAK~