Pengawalan Populasi Pokok Keladi Bunting Sebagai Makanan BSF | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Pengawalan Populasi Pokok Keladi Bunting Sebagai Makanan BSF

Pengawalan Populasi Pokok Keladi Bunting Sebagai Makanan BSF

Article Summary
Larva lalat askar hitam (BSF) adalah peringkat yang paling berfaedah dalam kitaran hidup serangga ini kerana kegunaannya dalam pertanian dan penternakan. Larva ini juga dimanipulasi untuk menguruskan pelbagai sisa seperti sisa pertanian dan sisa bandaran.


Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

Larva lalat askar hitam (BSF) adalah peringkat yang paling berfaedah dalam kitaran hidup serangga ini kerana kegunaannya dalam pertanian dan penternakan. Larva ini juga dimanipulasi untuk menguruskan pelbagai sisa seperti sisa pertanian dan sisa bandaran.

 

Tahukah anda keladi bunting boleh dijadikan sumber makanan untuk larva lalat askar hitam? Pokok keladi bunting merupakan rumpai akuatik sering tumbuh di kawasan berair seperti tasik atau berpaya, kehadirannya yang banyak boleh mengganggu ekosistem kawasan tersebut.

 

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, Sarawak, Dr. Latifah Omar, keladi bunting ini boleh dijadikan makanan bagi larva BSF, manakala hasil penguraian keladi bunting oleh BSF pula boleh dijadikan baja kompos.

 

 

Dalam kajian beliau, keladi bunting ini sesuai untuk dijadikan sumber makanan larva BSF kerana sifat tumbuhan ini yang penuh dengan serat serta mudah dihadam. Keladi bunting itu diperlukan dalam kuantiti yang banyak serta perlu direbus terlebih dahulu supaya mudah dihadam oleh larva.

 

Bagi tujuan itu, pengawal suhu adalah amat penting untuk memanjangkan jangka hayat serta tahap keaktifan larva BSF yang perlu dipantau antara 15 darjah Celsius hingga 35 darjah Celsius dengan kelembapan persekitaran antara 70 peratus hingga 80 peratus.

 

Tambah beliau, penggunaan pokok keladi bunting sebagai sumber makanan larva BSF juga merupakan inovasi dalam pengawalan populasi keladi bunting. Jadi, apabila pengumpulan keladi bunting giat dijalankan, populasi rumpai akuatik ini akan dapat dikurangkan yang digunakan sebagai sumber makanan kepada larva lalat askar hitam.

 

Beliau yang berkepakaran dalam bidang Pengurusan Sisa Pertanian berkata, jenis dan jumlah makanan juga adalah penting bagi memastikan sisa diuraikan sepenuhnya. Jenis makanan perlu dipelbagaikan dan tidak bergantung kepada satu jenis makanan sahaja.

 

Jadi, keladi bunting perlu direbus atau direndam terlebih dahulu bagi memudahkan proses penguraian oleh BSF. Larva akan menjadi pucat berwarna putih serta lonjong sekiranya memakan keladi bunting sahaja, sebaliknya, larva akan berbentuk bulat dan berisi jika makan dicampur dengan sisa lebihan dapur atau kulit buahan.

 

 

“Teknik pengurusan keladi bunting menggunakan larva lalat askar hitam boleh dipraktikan dengan kaedah 5R iaitu refuse, reuse, reduce, recycle, repurpose. Pendekatan berupaya mengurangkan populasi keladi bunting di sesebuah kawasan,” katanya.

 

Beliau juga berkata, hasil penguraian iaitu fras dapat digunakan sebagai baja organik dan sebahagian larva boleh dijual sebagai produk sampingan ternakan larva BSF.

Date of Input: 29/10/2024 | Updated: 29/10/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLVXAb~