Pelajar UPM Teroka Potensi LED Biru Dalam Penanaman Cendawan Terkawal | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTICLE » Pelajar UPM teroka potensi LED biru dalam penanaman cendawan terkawal

Pelajar UPM teroka potensi LED biru dalam penanaman cendawan terkawal

Article Summary
Seorang pelajar tahun akhir Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Wan Amira Masitah Wan Mustafa menjalankan kajian mengenai penggunaan cahaya LED biru bagi meningkatkan kualiti pertumbuhan cendawan serta menyokong pembangunan sistem penanaman dalam persekitaran tertutup yang lebih terkawal.


 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 6 Ogos- Seorang pelajar tahun akhir Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Wan Amira Masitah Wan Mustafa menjalankan kajian mengenai penggunaan cahaya LED biru bagi meningkatkan kualiti pertumbuhan cendawan serta menyokong pembangunan sistem penanaman dalam persekitaran tertutup yang lebih terkawal.

 

 

Beliau berkata, walaupun cendawan tidak menjalankan proses fotosintesis seperti tumbuhan, pencahayaan tertentu boleh mempengaruhi pembentukan, arah pertumbuhan dan ciri fizikalnya.

 

 

“Saya memilih untuk mengkaji penggunaan cahaya LED biru kerana ia berpotensi menggantikan cahaya semula jadi bagi penanaman cendawan dalam bangunan. Pendekatan ini juga sesuai digunakan ketika cuaca terlalu panas yang boleh menjejaskan pertumbuhan cendawan.

 

 

“Dalam kajian ini, saya turut menggunakan alat pemantau suhu dan kelembapan bagi memastikan keadaan persekitaran sentiasa sesuai untuk pertumbuhan cendawan walaupun lampu LED menghasilkan sedikit haba,” katanya.

 

 

Menurut beliau, hasil kajian awal menunjukkan bahawa cendawan yang ditanam di bawah rawatan cahaya LED biru menunjukkan kecenderungan menghasilkan bahagian kepala (tudung) yang lebih besar, tangkai yang lebih panjang serta penampilan yang lebih seragam berbanding kumpulan perbandingan yang dikaji.

 

 

“Selain itu, berdasarkan pemerhatian sepanjang tempoh kajian serta maklum balas awal daripada pihak Pusat Pertanian Putra (PPP) UPM, penggunaan cahaya LED biru menunjukkan potensi dalam mempengaruhi pertumbuhan dan penampilan cendawan. Walau bagaimanapun, kajian lanjutan dengan kawalan eksperimen yang lebih menyeluruh masih diperlukan bagi mengesahkan dapatan ini,” katanya.

 

 

Katanya, hasil kajian turut mendapati penggunaan lampu LED biru selama lapan jam atau kurang sehari sudah memadai untuk menghasilkan pertumbuhan cendawan yang baik dengan penggunaan tenaga yang lebih rendah.

 

 

Penggunaan lampu LED juga menawarkan pencahayaan yang lebih konsisten berbanding cahaya semula jadi kerana kurang dipengaruhi oleh perubahan cuaca. Oleh itu, teknologi ini mempunyai potensi untuk diteroka sebagai salah satu komponen dalam sistem penanaman cendawan moden, namun penilaian lanjut dari aspek produktiviti, kualiti hasil dan daya maju ekonomi masih diperlukan.

 

 

Tambah beliau, kajian tersebut secara tidak langsung membuka peluang kepada UPM untuk meneroka pembangunan sistem penanaman cendawan dalam persekitaran terkawal yang lebih moden, sekali gus memperkukuh penyelidikan universiti dalam bidang pertanian pintar.

 

 

Antara cabaran utama ialah memastikan komponen elektrik kekal selamat dalam persekitaran berkelembapan tinggi. Keadaan itu mendorong beliau menambah baik perlindungan sambungan elektrik dan struktur rak bagi memastikan sistem beroperasi dengan lebih selamat.

 


“Saya juga menukar penutup rak kepada bahan yang lebih kukuh selepas penutup sebelum ini koyak dan menyebabkan air memasuki ruang pengudaraan serta mengenai komponen elektrik. Pengalaman ini mengajar saya bahawa aspek keselamatan dan reka bentuk sistem amat penting bagi memastikan eksperimen berjalan lancar,” katanya.

 

 

Beliau berkata, projek itu turut memberi pendedahan mengenai penggunaan sistem pemantauan suhu dan kelembapan yang disambungkan kepada aplikasi telefon pintar bagi memantau keadaan penanaman secara masa nyata.

 

 

“Sistem ini boleh mengesan perubahan suhu dan kelembapan, menghantar notifikasi ke telefon serta mengaktifkan sistem penyembur kabus secara automatik apabila keadaan persekitaran berada di luar julat yang ditetapkan.

 

 

“Selain itu, saya juga mempelajari teknik penyelidikan yang betul bermula daripada penyediaan bahan, reka bentuk eksperimen, pengukuran, analisis data sehingga pembentangan hasil kajian,” katanya.

 

 

Anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu berkata, pengalaman tersebut mengajarnya bahawa kejayaan sesuatu penyelidikan bukan hanya bergantung kepada usaha sendiri, sebaliknya memerlukan kerjasama, kesabaran dan sokongan daripada ramai pihak. Beliau turut berharap lebih banyak penyelidikan berkaitan teknologi pertanian pintar dapat dibangunkan bagi menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Date of Input: 06/08/2026 | Updated: 06/08/2026 | zarithsofea

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZIGXAi~