Menjana Ekonomi Hijau Dan Berdaya Saing, Perspektif Karbon Dan ESG Dalam Bajet 2026 | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTICLE » Menjana Ekonomi Hijau dan Berdaya Saing, perspektif Karbon dan ESG dalam Bajet 2026

Menjana Ekonomi Hijau dan Berdaya Saing, perspektif Karbon dan ESG dalam Bajet 2026

Article Summary
Dasar percukaian karbon yang dijangka diperincikan dalam Bajet 2026 dilihat sebagai langkah penting kerajaan untuk mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi hijau yang lebih mampan dan berdaya saing.


 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 3 November – Dasar percukaian karbon yang dijangka diperincikan dalam Bajet 2026 dilihat sebagai langkah penting kerajaan untuk mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi hijau yang lebih mampan dan berdaya saing.

 

Pensyarah Kanan Sekolah Ekonomi dan Pengurusan (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Shaufique Fahmi Ahmad Sidique, berkata, pelaksanaan cukai karbon bukan semata-mata instrumen fiskal, tetapi satu mekanisme pasaran yang bertujuan menginternalisasikan pencemaran menjadikan pencemar bertanggungjawab terhadap kos sebenar kerosakan alam sekitar yang dihasilkan.

 

“Setiap kali penghasilan sesuatu produkkita bukan sahaja menghasilkan barang yang bernilai jualan malah juga sisa dan pencemaran.

 

“Permasalahannya kos kepada alam sekitar itu tidak pernah dimasukkan dalam harga pasaran. Cukai karbon datang untuk menutup jurang itu supaya mereka yang mencemar perlu membayar,” katanya.

 

Tambah beliau, mekanisme cukai karbon akan memaksa firma pengeluar menanggung kos pelepasan karbon yang mereka hasilkan serta mendorong mereka beralih kepada teknologi lebih bersih dan efisien.

 

“Jika mereka terus menghasilkan pencemaran tinggi mereka akan membayar cukai lebih besar menjadikan produk mereka mahal dan kurang kompetitif. Ini akhirnya akan mengubah corak pengeluaran dan penggunaan masyarakat,” katanya.

 

Selain itu, hasil kutipan cukai karbon boleh dimanfaatkan kerajaan untuk membiayai pelbagai inisiatif alam sekitar, termasuk program mitigasi dan pengurangan pelepasan (abatement activities), pembangunan teknologi hijau, pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, sokongan kepada industri yang sedang melalui peralihan ke arah karbon rendah, serta perlindungan kepada kumpulan rentan yang mungkin terkesan oleh perubahan struktur kos.

 

Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh aspirasi negara menuju ekonomi karbon rendah, malah selari dengan keperluan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) global yang kini menjadi penanda aras penting dalam menentukan daya saing di peringkat antarabangsa.

Prof. Dr. Shaufique turut berkata, apabila kos tenaga atau bahan api meningkat akibat cukai karbon, pengguna dan industri akan terdorong untuk mengubah tingkah laku serta memilih teknologi hijau.

 

“Apabila harga elektrik naik, masyarakat akan mula mengambil berat soal penggunaan membeli peralatan cekap tenaga, mengamalkan penjimatan, dan beralih kepada tenaga boleh baharu seperti solar. Inilah kesan positif daripada mekanisme pasaran,” katanya.

 

Beliau berkata, Bajet 2026 bukan hanya perlu bersifat ‘menghukum’ iaitu melalui cukai tetapi juga menyediakan insentif kewangan bagi mempercepat pelaburan dalam teknologi hijau.

 

“Apabila kerajaan menyediakan pembiayaan atau kadar faedah istimewa bagi syarikat yang mahu menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, kita bukan sekadar menghukum pencemar, tetapi memberi ganjaran kepada mereka yang memilih jalan lestari,” katanya.

 

Prof. Dr. Shaufique berkata, dalam konteks Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), tanggungjawab terhadap kelestarian bukan hanya di bahu kerajaan atau industri besar, tetapi setiap individu.

 

“Kita perlu ubah cara berfikir. Kalau kita mencemarkan, kita mesti bayar. Kalau kita buang sisa sembarangan, kita sedang memindahkan beban kepada orang lain. Itu bukan keadilan sosial,” katanya.

 

Beliau turut menyarankan agar dasar-dasar berkaitan sisa, kitar semula dan penggunaan tenaga dilaksanakan dengan lebih tegas serta berpaksikan prinsip tanggungjawab.

 

“Dalam banyak negara, orang bayar untuk setiap beg sampah yang mereka buang. Ini bukan denda tetapi ini adalah cara  mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab,” katanya.

 

Prof. Dr. Shaufique berkata, ekonomi hijau hanya akan menjadi realiti apabila rakyat memahami ‘semangat di sebalik dasar’ seperti cukai karbon.

 

“Kita tidak boleh melihatnya sebagai beban tambahan, tetapi sebagai pelaburan untuk masa depan yang lebih bersih dan adil. Bajet 2026 memberi peluang kepada Malaysia untuk menstruktur semula ekonominya menjadikannya bukan sahaja lebih berdaya saing tetapi juga beretika terhadap alam,” katanya.

Date of Input: 25/11/2025 | Updated: 25/11/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYLZUAg~