Article Summary
Cuaca di Malaysia yang mengalami iklim hutan hujan tropika menyebabkan pokok betik atau istilah saintifiknya, Carica papaya L. sangat sesuai ditanam di negara ini.
Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Cuaca di Malaysia yang mengalami iklim hutan hujan tropika menyebabkan pokok betik atau istilah saintifiknya, Carica papaya L. sangat sesuai ditanam di negara ini.
Tanaman betik bukan sahaja memberikan hasil yang konsisten sepanjang tahun, tetapi juga menawarkan salah satu langkah strategik untuk menyokong pembangunan ekonomi serta kelestarian pertanian negara.
Jangka hayat pokok betik adalah sekitar tiga tahun dan kebiasannya, hasil pengeluaran paling banyak ketika pokok berumur antara 13 hingga 14 bulan.
Betik boleh ditanam sebagai tanaman tunggal (monokultur) atau sebagai tanaman selingan dengan tanaman jangka panjang seperti durian dan kelapa malahan juga disyorkan sebagai tanaman landskap yang dikenali sebagai 'Edible Landscape Plant', yang menyumbang kepada estetika persekitaran.
Melalui peningkatan populasi dunia yang dijangka mencapai 8.8 bilion pada tahun 2050, permintaan terhadap buah-buahan, termasuk betik, akan terus meningkat.
Oleh itu, penanaman betik yang diurus dengan baik bukan sahaja dapat memenuhi keperluan domestik tetapi juga menembusi pasaran antarabangsa, menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau negara.
Malaysia kini mengeskport betik ke beberapa negara seperti Singapura, Hong Kong, Belanda, Timur Tengah, dan Thailand, yang menjadikan penanaman betik sebagai salah satu sumber pendapatan yang berpotensi besar bagi negara.
Bagaimanapun, penanaman betik tidak terlepas daripada cabaran, terutamanya dari segi serangan penyakit dan serangga perosak seperti Bintik Cincin Virus (Papaya Ringspot Virus) dan Penyakit Mati Rosot Betik (Papaya Dieback) yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada petani.
Pakar Pomologi, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Md Aiman Takrim Zakaria berkata penyelesaian terbaik serangan tersebut termasuklah kawalan vektor melalui penggunaan racun perosak dan pengawalan secara biologi menggunakan mikrob baik seperti Bacillus sp. atau Trichoderma sp.
Katanya, tumbuhan ini kurang sesuai untuk di tanaman di kawasan yang mengalami tiupan angin kencang kerana pengakaran betik yang cetek akan menyebabkan pokok mudah tumbang ditiup angin.
Oleh itu, kayu sokongan dan tanam pokok penampan perlu dilakukan untuk mengurangkan kesan pokok betik daripada angin kencang.
Selain itu, penanaman betik secara lestari memerlukan pengurusan yang baik dari segi pemilihan kawasan, kesesuaian tanah, dan sistem pengairan.
Melalui penggunaan teknologi moden seperti drone yang memudahkan pemantauan ladang dan sistem IoT (Internet of Things) yang menghubungkan data secara real-time, produktiviti serta pengurusan tanaman betik dapat ditingkatkan.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkaya hasil tanaman tetapi juga memastikan bahawa pengelolaan ladang dilakukan dengan bijaksana.
Inovasi dan Potensi Masa Depan
Menurut Dr. Aiman, inovasi dalam kajian betik kini semakin difokuskan kepada isu-isu perubahan iklim, seperti cuaca panas dan kemarau berpanjangan.
Kajian berkaitan penggunaan anti-transpirasi dan baja organik yang efektif bersama mikrob baik telah menunjukkan kesan positif dalam mengurangkan kesan buruk perubahan cuaca, sekaligus meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil betik untuk tujuan eksport.
Penanaman betik di Malaysia mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai satu industri yang menyokong ekonomi hijau dan lestari.
Hal ini demikian kerana, penerapan teknologi moden, pengurusan tanaman yang berkesan, serta inovasi berterusan akan menyebabkan industri betik mampu menjadi salah satu pemacu utama dalam mencapai matlamat ekonomi rendah karbon dan kemampanan alam sekitar menjelang 2050.
Tanggungjawab kita untuk memelihara dan memajukan tanaman betik sebagai aset pertanian yang bernilai adalah penting.
Usaha dalam mengamalkan pertanian lestari tidak hanya menjamin hasil yang melimpah, tetapi juga berfungsi sebagai perlindungan kepada warisan alam untuk generasi akan datang.
Dengan kesedaran dan komitmen yang kolektif, kita dapat memastikan perkembangan industri betik selaras dengan prinsip kemampanan dan keseimbangan ekologi. Inisiatif ini bukan sahaja menyuburkan ladang-ladang kita, tetapi juga menciptakan simbol harapan bagi masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing.
Date of Input: 30/09/2024 | Updated: 30/09/2024 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA