Daun Mengkudu Dan Teh Bantu Menghindar Risiko Patah Tulang (Kehilangan Tulang) Selepas Menopaus | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Daun Mengkudu dan Teh Bantu Menghindar Risiko Patah Tulang (Kehilangan Tulang) Selepas Menopaus

Daun Mengkudu dan Teh Bantu Menghindar Risiko Patah Tulang (Kehilangan Tulang) Selepas Menopaus

Article Summary
Pengambilan daun mengkudu dan teh hitam yang tinggi kandungan flavonoid serta polifenol tertentu dapat mengurangkan risiko kejadian patah tulang pada wanita yang lanjut usia. Penggunaan teh hitam serta daun mengkudu didapati dapat meningkatkan hormon estradiol dalam darah dan menghalang kehilangan ketumpatan tulang dalam tikus yang telah dibuang ovari.


**This article was published in Malay Language and has no translation in English**



Pengambilan daun mengkudu dan teh hitam yang tinggi kandungan flavonoid serta polifenol tertentu dapat mengurangkan risiko kejadian  patah tulang pada wanita yang lanjut usia. Penggunaan teh hitam serta daun mengkudu didapati dapat meningkatkan hormon estradiol dalam darah dan menghalang kehilangan ketumpatan tulang dalam tikus yang telah dibuang ovari.

Kekuatan tulang bergantung pada keseimbangan antara penyerapan  tulang oleh osteoklast (sel penghakis tulang) dan pembentukan tulang oleh osteoblast (sel pembina tulang). Dengan peningkatan usia, penyakit atau gaya hidup kurang aktif, keseimbangan ini mengarah lebih kepada kehilangan tulang daripada pembinaan tulang, mengakibatkan tulang menjadi rapuh dan meningkatkan risiko patah tulang.

Osteoporosis adalah keadaan di mana ketumpatan zat galian tulang (Bone Mineral Density BMD) jauh di bawah paras minima untuk wanita muda normal. Osteoporosis menyebabkan lebih 9 juta keretakan tulang setiap tahun, dan menjejaskan lebih daripada 200 juta wanita di seluruh dunia (kira-kira 10% berumur 60, 20% berumur 70, 40% berumur 80 dan 70% berumur 90 tahun). Osteoporosis meningkatkan risiko keretakan tulang dan kecederaan fizikal. Aktiviti fizikal dan pengambilan makanan yang sihat (termasuk kalsium dan vitamin) membantu menghalang osteoporosis.

 

Makanan yang membantu pembentukan tulang dapat mencegah osteoporosis. Kami membandingkan keberkesanan dan mekanisma ekstrak daun Mengkudu (Morinda citrifolia), teh hitam dan Black cohosh (Remifemin) terhadap pebinaan tulang dalam model tikus osteoporosis yang kekurangan estrogen.

Kami mendapati daun Mengkudu dan ekstrak teh hitam menggalakkan pertumbuhan tulang di tikus ovariektomi (dibuang ovari). Kajian selama empat bulan menunjukkan pertumbuhan tulang ada kaitan dengan dos yang digunakan. Ekstrak daun mengkudu yang kaya dengan katekin menunjukkan pertumbuhan semula tulang dengan jelas melalui peningkatan (i) saiz dan struktur tulang, (ii) sifat mekanikal tulang (kekuatan dan kelenturan), dan (iii) kandungan zat galian dan ketumpatan tulang. Mekanisme terperinci menunjukan ekstrak daun mengkudu meningkatkan pertumbuhan tulang dan menghindar kehilangan tulang dengan (i) meningkatkan pembiakan dan jangka-hayat kehidupan sel osteoblast, (ii) menghalang pembiakan dan aktiviti osteoklast, (iii) mengurankan keradangan, (iv) meningkatkan sintesis kolagen tulang dan (v) mengimbangi ungkapan ESR1 (estrogen reseptor 1) untuk menaikan keberkesanan fytoestrogen.

Kekurangan estrogen sering menyebabkan peningkatan berat badan dan kandungan lemak badan, bersama-sama dengan penurunan berat tulang. Ekstrak daun Mengkudu dapat mengurangkan peningkatan berat badan yang disebabkan oleh kekurangan estrogen. Ketumpatan tulang femur yang dipertingkatkan oleh ekstrak daun Mengkudu dan teh Hitam menunjukkan pertumbuhan semula tulang yang aktif mengatasi tikus kawalan yang sihat (Sham). Keputusan ini menunjukkan potensi manfaat memakan daun Mengkudu dan teh hitam untuk wanita tua satelah menopaus.

 

Mengkudu (Morinda citrifolia L.) secara tradisinya digunakan sebagai ubat tulang yang retak atau patah, luka, lebam dan masalah kesihatan yang lain. Ekstrak buah Mengkudu dilaporkan meningkatkan aktiviti osteoblast, penambahan zat galian tulang dan merencatkan aktiviti osteoklast. Bagaimanapun pengambilan ekstrak buah Mengkudu yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan hati.

Ekstrak air daun Mengkudu (atau sebagai sayuran) menggalakkan pembentukan tulang dan matriks zat galian dalam sel ligamen gigi manusia. Selain itu, daun Mengkudu dilaporkan selamat dengan manfaat ubatan dan kesihatan seperti kesan antikanser, anti-bakteria, anti-radang, pengurang kesakitan, bantu menurunkan tekanan darah yang tinggi, serta meningkatkan daya sistem imun badan.

Kekurangan estrogen akan menurunkan keanjalan femur (berbanding makhluk yang sihat) dan kekuatan tulang. Ekstrak air daun Mengkudu dapat membantu meningkatkan kekuatan tulang, kelenturan tulang serta memberi kesannya yang baik terhadap sifat mekanikal tulang.

Pengiktirafan

Kajian ini ditaja oleh Bahagian Pembangunan Herbal, Kementerian Pertanian dan Asas Tani (Nombor tajaan: NH0513S009).

Maklumat Lanjut:

Suhaila Mohamed (PhD), Felo Penyelidik Utama, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM, Serdang, Selangor, Malaysia.
Tel: + 603 89472168; Fax: + 603 89472111
Email: mohamed.suhaila@gmail.com

Date of Input: 27/02/2020 | Updated: 27/02/2020 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLVTAy~