Daun Kari  Mungkin Ubah Cara Kita Bungkus Makanan | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTICLE » Daun Kari  Mungkin Ubah Cara Kita Bungkus Makanan

Daun Kari  Mungkin Ubah Cara Kita Bungkus Makanan

Article Summary
Prof. Madya Dr. Nur Hanani menyatakan rahsia keberkesanan inovasi ini terletak pada penggunaan teknologi nano. Dimana dalam penyelidikan ini minyak pati daun kari ditukarkan kepada nanopartikel menggunakan kitosan, sejenis biopolimer semula jadi yang diperoleh daripada sisa industri makanan laut.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari




Dari dapur rumah ke makmal, inovasi pembungkusan berasaskan daun kari ini berpotensi melawan pencemaran mikroplastik, melindungi makanan dan menyelamatkan alam sekitar.

Pembungkusan makanan plastik sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian, daripada sarapan bungkus hinggalah makan malam sedia dimakan. Namun di sebalik kemudahan itu, wujud satu hakikat yang semakin membimbangkan.

Hampir 40 peratus penggunaan plastik global datang daripada sektor pembungkusan, kebanyakannya bersifat sekali guna. Plastik ini tidak benar-benar hilang, sebaliknya terurai menjadi mikroplastik, zarah halus yang kini dikesan dalam air, tanah dan rantaian makanan manusia.

Apa yang lebih merisaukan, pembungkusan makanan konvensional juga berpotensi menjadi laluan pemindahan mikroplastik ke dalam makanan yang kita makan setiap hari.

Di tengah-tengah isu ini, Timbalan Dekan Pembangunan dan Jaringan Pensyarah Jabatan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nur Hanani Zainal Abedin  telah memilih sebuah inovasi daripada sumber yang sangat dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia iaitu daun kari.

Selama ini, daun kari dikenali sebagai penambah aroma dalam masakan. Namun, kajian saintifik menunjukkan daun kari kaya dengan sebatian bioaktif yang mempunyai sifat antimikrob, antioksidan dan penangkis serangga.

Pemerhatian ini sebenarnya selari dengan amalan tradisional masyarakat, apabila daun kari sering diletakkan berhampiran hidangan untuk mengurangkan kehadiran lalat, terutama ketika kenduri dan jamuan terbuka.

Daripada pemerhatian ringkas inilah, idea pembungkusan makanan berasaskan daun kari mula dikembangkan, dengan matlamat bukan sekadar membungkus, tetapi melindungi makanan secara aktif.

Kebanyakan pembungkusan hari ini hanya berfungsi sebagai lapisan pelindung fizikal. Ia tidak menghalang pertumbuhan mikroorganisma, tidak melambatkan pengoksidaan makanan dan tidak membantu mengurangkan pendedahan kepada serangga seperti lalat.

Dalam jangka panjang, penggunaan plastik sintetik yang sukar terurai menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan risiko kesihatan yang semakin mendapat perhatian global.

Keperluan terhadap pembungkusan yang lebih selamat, aktif dan mesra alam mendorong kepada pembangunan pembungkusan berasaskan biopolimer semula jadi.



Prof. Madya Dr. Nur Hanani menyatakan rahsia keberkesanan inovasi ini terletak pada penggunaan teknologi nano. Dimana dalam penyelidikan ini minyak pati daun kari ditukarkan kepada nanopartikel menggunakan kitosan, sejenis biopolimer semula jadi yang diperoleh daripada sisa industri makanan laut.

“Proses ini melindungi sebatian aktif daripada mudah meruap dan membolehkan pelepasan bahan berlaku secara berperingkat. Nanopartikel ini digabungkan ke dalam filem pembungkusan berasaskan kitosan, menghasilkan pembungkusan aktif yang bukan sahaja menghalang pertumbuhan mikroorganisma, malah membantu melambatkan kerosakan makanan dan mengurangkan gangguan lalat.


“Kesan penangkisan lalat datang daripada sebatian meruap dalam minyak pati daun kari, seperti terpenoid dan alkaloid semula jadi. Bau dan bioaktiviti sebatian ini tidak digemari oleh serangga, menjadikannya satu pendekatan semula jadi tanpa penggunaan bahan kimia sintetik.

Beliau berkata, perlindungan teknologi nano dan sebatian ini kekal berkesan lebih lama, sesuai untuk aplikasi makanan sedia dimakan atau makanan terbuka.


Aspek keselamatan makanan menjadi keutamaan dalam pembangunan inovasi ini. Bahan yang digunakan terdiri daripada kitosan dan minyak pati daun kari yang dilaporkan selamat untuk sentuhan makanan pada kepekatan terkawal.

Ujian migrasi menunjukkan pemindahan bahan aktif berada dalam julat selamat, manakala aplikasi pada sandwich tuna sedia dimakan membuktikan pembungkusan ini mampu mengekalkan kualiti makanan tanpa menjejaskan kesegaran atau rasa.


Keunikan pembungkusan berasaskan daun kari ini ialah keupayaannya menangani dua masalah besar serentak. Pertama, mengurangkan kebergantungan kepada plastik konvensional yang menyumbang kepada pencemaran mikroplastik. Kedua, membantu memanjangkan jangka hayat makanan, sekali gus mengurangkan pembaziran makanan.

Filem pembungkusan ini bersifat biodegradasi dan diperbuat daripada sumber boleh diperbaharui, menjadikannya selari dengan agenda kelestarian dan ekonomi hijau.



Tambahnya, potensi teknologi ini tidak terhenti pada daun kari sahaja. Herba tempatan lain yang kaya dengan sifat bioaktif juga boleh diterokai, membuka ruang kepada pembangunan pembungkusan makanan berasaskan sumber tempatan yang lebih mampan.

Jika berjaya diaplikasikan secara meluas, inovasi ini berpotensi mengubah cara kita melihat pembungkusan makanan. Daripada sekadar plastik yang dibuang selepas digunakan, kepada pembungkusan pintar yang melindungi makanan, manusia dan alam sekitar.

Date of Input: 27/02/2026 | Updated: 27/02/2026 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZDDHA7~