Balik Kampung Naik Motorsikal Berjam-jam? Hati-hati Risiko Mati Pucuk | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTICLE » Balik Kampung Naik Motorsikal Berjam-jam? Hati-hati Risiko Mati Pucuk

Balik Kampung Naik Motorsikal Berjam-jam? Hati-hati Risiko Mati Pucuk

Article Summary
Beberapa kajian perubatan mendapati terdapat kaitan yang signifikan antara aktiviti menunggang motosikal jarak jauh dengan masalah disfungsi ereksi. Kajian awal di Jepun pada tahun 2006 melaporkan 69 peratus penunggang motosikal mengalami simptom mati pucuk, berbanding kumpulan yang tidak menunggang. Risiko ini meningkat seiring pertambahan usia.



Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin





Setiap kali musim perayaan, ribuan rakyat Malaysia turut memilih motosikal sebagai kenderaan utama untuk pulang ke kampung. Selain lebih mudah mengelak kesesakan trafik, motosikal juga menjadi pilihan popular bagi perjalanan jarak jauh terutama dalam kalangan golongan muda, yang berpencen dan pekerja di bandar.

 

Namun di sebalik kemudahan itu, terdapat satu risiko kesihatan yang jarang dibincangkan secara terbuka bagi masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk yang dikaitkan dengan perjalanan jauh menaiki motosikal.

Beberapa kajian perubatan mendapati terdapat kaitan yang signifikan antara aktiviti menunggang motosikal jarak jauh dengan masalah disfungsi ereksi. Kajian awal di Jepun pada tahun 2006 melaporkan 69 peratus penunggang motosikal mengalami simptom mati pucuk, berbanding kumpulan yang tidak menunggang. Risiko ini meningkat seiring pertambahan usia.

Dalam kalangan penunggang berusia 50 tahun ke atas, kadar risiko dilaporkan boleh mencecah sehingga 93 peratus. Kajian di Asia Tenggara pula menunjukkan hubungan yang dipanggil “dos-respons”, iaitu semakin lama tempoh menunggang atau semakin jauh perjalanan, semakin tinggi risiko yang dihadapi.

Walaupun isu ini sering dikaitkan dengan faktor usia, diabetes atau tekanan darah tinggi, kajian perubatan menunjukkan bahawa tekanan fizikal akibat menunggang motosikal dalam tempoh lama juga boleh menyumbang kepada masalah tersebut.

Menurut Pakar Klinikal Urologi, Dr. Vincent Khor Wei Sheng, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan masyarakat tidak tahu aktiviti menunggang motosikal memberi tekanan berterusan pada kawasan perineum, iaitu bahagian di antara dubur dan skrotum. Kawasan ini sebenarnya menempatkan saraf dan saluran darah penting yang mengawal fungsi seksual lelaki.



Saraf pudendal dan arteri pudendal yang berada di kawasan tersebut bertanggungjawab menghantar isyarat saraf dan membekalkan aliran darah ke zakar bagi proses ereksi.

Namun pelana motosikal yang sempit dan keras boleh menekan struktur ini secara langsung. Apabila seseorang menunggang dalam tempoh lama, tekanan berterusan ini boleh mengurangkan aliran darah serta menjejaskan fungsi saraf, sekali gus memberi kesan kepada kualiti ereksi.

Selain tekanan fizikal, getaran daripada enjin motosikal juga memainkan peranan. Getaran yang berterusan boleh menyebabkan kerosakan mikro pada saluran darah serta menimbulkan rasa kebas pada kawasan sulit. Kebanyakan penunggang mungkin menganggap kebas ini sebagai perkara biasa selepas perjalanan jauh.

Namun jika keadaan ini berlaku secara berulang tanpa rehat yang mencukupi, ia boleh menjadi kronik dan akhirnya menyumbang kepada masalah fungsi seksual.

Berapa lama tempoh menunggang yang selamat?

 

Dari sudut perubatan, terdapat beberapa peringkat tempoh menunggang yang boleh memberi gambaran tahap risiko. Dalam tempoh bawah 30 minit, kebanyakan lelaki tidak mengalami kesan ketara.

Namun selepas 30 hingga 60 minit, tekanan oksigen pada tisu di kawasan perineum mula menurun dan penunggang mungkin mula merasa kebas atau panas. Selepas dua jam tanpa henti, risiko kerosakan mikro pada saraf dan saluran darah meningkat dengan ketara.

Beliau menyarankan penunggang motosikal berhenti setiap 60 hingga 90 minit untuk berehat sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit bagi memulihkan aliran darah.

Jenis motosikal juga mempengaruhi risiko

Walaupun begitu motosikal jenis sportbike atau superbike biasanya mempunyai posisi menunggang yang membongkok ke hadapan akan menyebabkan berat badan tertumpu pada bahagian hadapan perineum.

Sebaliknya, motosikal touring atau adventure direka dengan aspek ergonomik untuk perjalanan jauh, termasuk pelana yang lebih lebar dan sistem pengurangan getaran yang lebih baik.

Namun bagi penunggang motosikal biasa seperti kapcai, risiko tetap boleh meningkat jika tempoh menunggang terlalu lama, contohnya dalam kalangan penghantar makanan yang berada di atas motosikal sehingga lapan hingga sepuluh jam sehari.

Tambahnya, ramai penunggang motosikal mengetahui risiko ini namun tahap kesedaran masyarakat masih rendah. Ini kerana budaya masyarakat Asia termasuk Malaysia, berkaitan kesihatan seksual lelaki masih dianggap sensitif dan jarang dibincangkan secara terbuka.

Bukan itu sahaja, kebanyakan kempen keselamatan jalan raya juga lebih tertumpu kepada penggunaan topi keledar atau pematuhan undang-undang trafik dan tidak menekankan isu ergonomik dan kesihatan penunggang motosikal pula jarang diketengahkan.

 

Utamakan kesihatan ketika pulang beraya

 

Perjalanan balik kampung adalah tradisi yang dinanti-nantikan setiap kali menjelang Aidilfitri. Namun dalam keseronokan merancang perjalanan jauh, aspek kesihatan juga perlu diberi perhatian.

 

Bagi penunggang motosikal, pastikan pelana yang selesa, berehat secara berkala serta menjaga kesihatan tubuh adalah langkah penting untuk mengelakkan komplikasi jangka panjang.

 

Keselesaan ketika menunggang bukan sekadar soal perjalanan yang lancar, tetapi juga melindungi kesihatan lelaki yang sering dianggap perkara tabu untuk dibincangkan.

 

Langkah pencegahan untuk perjalanan jauh

 

Bagi mereka yang merancang perjalanan jauh menaiki motosikal terutama ketika musim perayaan, beberapa langkah mudah boleh membantu mengurangkan risiko.

 

Antaranya ialah menggunakan pelapik kerusi udara atau gel, mengubah suai kusyen pelana dengan lekukan di bahagian tengah untuk mengurangkan tekanan pada perineum, serta memakai seluar menunggang yang mempunyai pelapik khas.

 

Penunggang juga disarankan untuk tidak duduk statik terlalu lama dan berhenti berehat secara berkala. Selain itu, elakkan pakaian terlalu ketat yang boleh meningkatkan tekanan dan haba pada kawasan sulit.

 

 

 

 

Date of Input: 16/03/2026 | Updated: 16/03/2026 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZDYVAa~