Article Summary
Peluasan akses kepada langganan kecerdasan buatan (AI) percuma perlu disusuli dengan pembangunan literasi AI bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara produktif, kritis dan bertanggungjawab dalam kalangan rakyat.

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
SERDANG, 23 Oktober – Peluasan akses kepada langganan kecerdasan buatan (AI) percuma perlu disusuli dengan pembangunan literasi AI bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara produktif, kritis dan bertanggungjawab dalam kalangan rakyat.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts. Dr. Raihani Mohamed berkata, tambahan 100,000 langganan AI percuma yang diumumkan menerusi Belanjawan MADANI 2027, termasuk peluasan kepada aplikasi seperti ChatGPT, merupakan langkah positif untuk mendemokrasikan akses kepada teknologi berkenaan.
Menurut beliau, kos dan akses kepada aplikasi AI premium sebelum ini menjadi antara halangan kepada pengguna, khususnya golongan muda, untuk meneroka teknologi tersebut.
“Namun, saya melihat ini bukan sekadar pemberian langganan. Ia perlu menjadi pintu masuk kepada pembangunan literasi AI, daripada sekadar tahu menggunakan AI kepada tahu menggunakannya secara produktif, kritis dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Penyelidik Teras di Laboratori Generasi Siber, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM berkata, golongan muda melihat AI sebagai alat yang dekat dengan kehidupan seharian, termasuk untuk pembelajaran, menghasilkan idea, penulisan, pengaturcaraan, pencarian maklumat dan peningkatan produktiviti.
Peluasan langganan berkenaan berpotensi memberi lebih ramai pengguna peluang meneroka fungsi AI yang lebih maju, sekali gus mengembangkan keupayaan mereka daripada pengguna teknologi kepada pencipta penyelesaian dan inovasi sendiri.
Mengulas manfaatnya kepada masyarakat, beliau berkata, AI boleh berperanan sebagai teman pembelajaran kepada pelajar dengan membantu mereka memahami konsep, menjana idea dan mendapatkan maklum balas.
“Bagi pelajar, AI boleh menjadi teman pembelajaran untuk membantu memahami konsep, menghasilkan idea dan memberi maklum balas. Bagi graduan, AI boleh membantu meningkatkan kemahiran seperti analisis data, pengaturcaraan, komunikasi dan persediaan memasuki alam pekerjaan, manakala bagi pekerja pula, AI boleh membantu mengautomasi tugasan rutin, menganalisis maklumat dan meningkatkan produktiviti,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penggunaan AI seharusnya bertujuan meningkatkan keupayaan manusia dan bukannya menggantikan proses berfikir.
“Gunakan AI untuk meningkatkan kemampuan manusia, bukan menggantikan proses berfikir,” katanya.
Beliau berpandangan bahawa penyediaan akses kepada AI perlu dilengkapi latihan dan bimbingan yang bersesuaian bagi memastikan pengguna mampu memanfaatkan teknologi tersebut dengan berkesan.
Latihan berkenaan sekurang-kurangnya perlu merangkumi kaedah penggunaan AI secara efektif, penilaian ketepatan jawapan yang dijana serta aspek etika, privasi dan keselamatan.
Beliau turut menekankan kepentingan penyampaian literasi AI dalam bentuk yang mudah difahami oleh masyarakat umum, termasuk golongan yang masih kurang mahir menggunakan teknologi digital.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan Sovereign AI Cloud turut penting seiring dengan peningkatan penggunaan AI kerana data merupakan aset strategik yang memerlukan perlindungan dan kawalan sewajarnya.
Menurut beliau, kedaulatan data bukan sekadar berkaitan lokasi penyimpanan data, malah melibatkan pihak yang mempunyai kawalan terhadap data, kaedah pemprosesannya serta perlindungan terhadap maklumat sensitif dan strategik negara.
“Dari perspektif kedaulatan digital, Malaysia perlu mempunyai keupayaan untuk mengawal aset data strategiknya sendiri, sambil membangunkan kepakaran dan ekosistem AI tempatan,” katanya.
Mengulas risiko penggunaan AI, beliau mengenal pasti tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian, iaitu ketepatan maklumat, privasi dan kebergantungan berlebihan terhadap teknologi tersebut.
“AI boleh menghasilkan jawapan yang kelihatan meyakinkan tetapi sebenarnya tidak tepat. Oleh itu, pengguna perlu menyemak ketepatan maklumat yang diberikan dan berhati-hati agar tidak memasukkan data peribadi, maklumat sulit atau maklumat organisasi secara sewenang-wenangnya,” katanya.
Selain itu, penggunaan AI tanpa pertimbangan dan semakan sendiri juga berisiko menjejaskan kemahiran berfikir secara kritis dalam jangka panjang.
Bagi memastikan inisiatif tambahan 100,000 langganan AI percuma memberi impak yang lebih menyeluruh, beliau mencadangkan pembangunan keupayaan rakyat dilaksanakan melalui tiga peringkat, iaitu akses, keupayaan dan penciptaan.
Peringkat pertama memberi tumpuan kepada pembukaan akses kepada teknologi AI, diikuti pembangunan keupayaan melalui latihan agar pengguna dapat menggunakannya secara produktif, kritis dan selamat.
Peringkat seterusnya pula adalah untuk melahirkan lebih ramai pembangun, penyelidik, profesional dan usahawan yang mampu menghasilkan penyelesaian AI tempatan.
“Pendekatan ini bukan sahaja dapat meningkatkan penggunaan AI dalam kalangan rakyat, malah membantu membangunkan bakat dan mengukuhkan ekosistem AI negara,” katanya.
Date of Input: 23/10/2026 | Updated: 23/10/2026 | zarithsofea

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA