Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
Perasaan berat hati ketika terpaksa meninggalkan keluarga dan berjauhan dari mereka kini memberikan kegembiraan yang bermakna tidak terhingga buat Wilma Ellya anak Christopher Changgat, 25, graduan Bacelor Sains Perhutanan Dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Sidang 1 di Kampus Bintulu hari ini.
Wilma, anak kepada seorang penoreh getah di Kampung Issu Bangat, Betong, Sarawak menanam impian untuk mengembangkan ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian sebagai kerjaya utamanya bagi memberikan pendedahan dan kesedaran terutamanya golongan muda tentang kepentingan hutan kepada kehidupan.
“Saya tinggal di rumah panjang, dimana kawasan kampung yang saya duduki masih banyak lagi hutan, jadi suasana rumah panjang kami nyaman dan sejuk.
“Pemilihan bidang ini kerana hutan sangat dekat dengan diri saya, jadi, wujud rasa ingin tahu bagaimana hutan itu berfungsi serta ingin belajar tentang peranan hutan kepada kehidupan kita,” katanya.
Menurut Willma, jika hendak bercerita tentang kisah pahit getir sepanjang belajar itu sangatlah banyak, walau apa pun yang datang, beliau hadapinya dengan tenang dan sabar.
“Saya bersyukur juga atas perkara yang dialami sepanjang belajar ini kerana banyak mengajar serta mematangkan saya untuk menghadapi cabaran dalam hidup ini terutamanya dalam dunia pekerjaan.
Apapun kini, beliau amat menghargai jasa dan pengorbanan kedua orang tuanya yang sentiasa memberi sokongan sepanjang tempoh pengajian beliau di UPMKB ini.
Date of Input: 03/11/2024 | Updated: 03/11/2024 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA