Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 27 Ogos – Konsep kitar semula sisa dapur dari kantin sekolah kepada baja organik yang boleh dimanfaatkan untuk tanaman, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Pertanian (FP) memperkenalkan pendekatan pertanian lestari kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Perdana, Puchong, Selangor melalui Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Program – KTP).
Program yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Tan Geok Hun itu memberi pendedahan secara teori dan praktikal kepada para pelajar mengenai penghasilan baja organik cecair menggunakan sisa pemprosesan makanan dan bahan buangan dapur menghubungkan ilmu pertanian dengan isu pengurusan sisa yang dihadapi masyarakat.
Prof. Madya Dr. Tan Geok Hun berkata, kerjasama tersebut membuktikan bahawa pendidikan pertanian boleh dimulakan dari peringkat sekolah melalui pendekatan pembelajaran yang menggabungkan ilmu, amali dan penyelesaian masalah sebenar dalam komuniti.
“Kita mahu pelajar melihat bahawa sisa hijau dari dapur atau kantin sekolah bukan semata-mata bahan yang perlu dibuang, sebaliknya boleh diubah menjadi sumber yang bernilai melalui kaedah dan pengetahuan yang betul.
“Melalui program ini, pelajar bukan sahaja belajar cara menghasilkan baja organik, tetapi turut memahami kaitan antara pertanian, pengurusan sisa, kelestarian alam sekitar dan keselamatan makanan,” katanya.
Tambah beliau, FP, UPM sebagai rakan strategik pertama dalam kalangan universiti awam menjadikan Program Pemindahan Ilmu sebagai salah satu platform untuk membawa kepakaran universiti lebih dekat kepada komuniti, khususnya generasi muda.
“Pendedahan seperti ini penting kerana pertanian hari ini tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai aktiviti menghasilkan makanan, tetapi merangkumi sains, teknologi, inovasi, alam sekitar dan keusahawanan.
“Kita berharap pengalaman yang diperoleh melalui program ini dapat mencetuskan minat pelajar untuk melihat pertanian sebagai bidang yang moden, berdaya maju dan mempunyai prospek kerjaya yang luas,” katanya.
Program itu turut memberi penekanan terhadap konsep ekonomi kitaran apabila sisa dapur yang lazimnya berakhir sebagai sisa pepejal dimanfaatkan semula sebagai input untuk penghasilan baja organik.
Pendekatan itu bukan sahaja berpotensi mengurangkan jumlah penhasilan sisa yang akan berakhir di tapak pelupusan sampah , malah membantu mengurangkan kebergantungan terhadap input pertanian berasaskan bahan kimia serta memberikan penjimatan kos pembajaan bagi tanaman yang diusahakan di sekolah.
Lebih penting, para pelajar turut didedahkan kepada proses biologi yang berlaku dalam penguraian bahan organik, termasuk peranan mikroorganisma seperti bakteria dalam memecahkan bahan buangan kepada bahan yang lebih stabil dan kaya dengan nutrien yang diperlukan oleh tanaman.
Penolong Pegawai Sains, FP, UPM, Nazirah Ngadiman berkata, program tersebut merupakan pendekatan pendidikan yang menggabungkan pengetahuan akademik dengan pengalaman praktikal, sekali gus membantu pelajar memahami aplikasi ilmu pertanian dalam kehidupan seharian.
“Pada pandangan saya, program ini sangat bermanfaat kerana pelajar bukan sahaja menerima ilmu secara teori, malah dapat melihat dan mengalami sendiri bagaimana sisa dari dapur dan sisa hijau boleh diurus dan dimanfaatkan semula.
“Kerjasama antara UPM dan SMK Putra Perdana juga membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali bidang pertanian dengan lebih dekat, termasuk memahami peluang pendidikan dan hala tuju pengajian dalam bidang berkaitan di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar (FPAS), UPM, Yip Zhong Hen berkata, program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk memahami isu pengurusan sisa daripada perspektif yang lebih praktikal.
“Pengurusan sisa merupakan antara cabaran yang perlu diberi perhatian kerana peningkatan populasi dan perkembangan ekonomi turut menyumbang kepada pertambahan jumlah sisa yang dihasilkan.
“Melalui aktiviti ini, pelajar dapat melihat sendiri bagaimana sisa dapur seperti sayur-sayuran dan kulit buah-buahan boleh diproses dan dimanfaatkan sebagai baja organik, di samping memahami peranan mikroorganisma dalam proses penguraian bahan organik,” katanya.
Dalam pada itu program tersebut turut menjadi medium untuk memperkenalkan peranan UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menghasilkan ilmu dan penyelidikan, malah memindahkan kepakaran tersebut kepada masyarakat melalui pendekatan yang praktikal dan memberi impak.
Melalui pendedahan awal kepada pertanian lestari, pengurusan sisa dan teknologi hijau, program berkenaan diharap dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik pertanian, tetapi turut mempunyai kesedaran terhadap alam sekitar serta kepentingan kelestarian sistem makanan negara.
Turut hadir, Dekan Fakulti Pertanian UPM, Profesor Dr. Loh Teck Chwen, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sepang (Sektor Pembelajaran), Ahmad Rifaei Salleh, serta Pengetua SMK Putra Perdana, Datin Aslaniah Jamali.
Program tersebut juga melibatkan barisan pensyarah dan pegawai penyelidik Fakulti Pertanian UPM, iaitu Dr. Noraini Md Jaafar@Ahmad Jaafar, Dr. Tee Tuan Poy, Nazirah Ngadiman, Noorhafiza Abdullah, Muhamad Hafifudin Imran Md Daud dan Yip Zhong Hen.
Date of Input: 28/08/2026 | Updated: 28/08/2026 | eszereen

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA