UPM, Global Precision Diagnostics Perkukuh Kerjasama Bidang Diagnostik | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» NEWS » UPM, Global Precision Diagnostics perkukuh kerjasama bidang diagnostik

UPM, Global Precision Diagnostics perkukuh kerjasama bidang diagnostik

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim


Foto oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 4 September – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) memperkukuh kerjasama strategik bersama Global Precision Diagnostics Sdn. Bhd. menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang diagnostik, farmakogenomik, penyelidikan dan pembangunan teknologi kesihatan.

 

 

Kerjasama itu membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk memanfaatkan kepakaran akademik dan industri dalam memperkasa penyelidikan, pembangunan teknologi serta penggunaan teknologi diagnostik bagi menyokong penjagaan kesihatan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

 

 

Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, berkata kerjasama tersebut merupakan satu langkah penting bagi meneroka potensi bidang diagnostik, termasuk pembangunan peralatan, protokol dan prosedur ujian serta penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu.

 

 

“Kerjasama ini berpotensi memaksimumkan penggunaan kepakaran serta teknologi yang ada, khususnya dalam bidang kesihatan.

 

 

“FPSK dan warga UPM perlu melihat kepada keupayaan dan potensi yang ada bukan sahaja melaksanakan perkara-perkara yang sudah kita ketahui, tetapi mencari usaha-usaha baharu untuk memastikan peralatan ini digunakan dalam pelbagai bentuk yang boleh memberi impak nyata kepada masyarakat,” katanya.

 

 

Selain itu, kerjasama tersebut selari dengan UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint yang menekankan peranan universiti dalam memanfaatkan kepakaran, pembangunan kapasiti pelajar, penyelidikan serta kerjasama dengan industri dan komuniti bagi menyumbang kepada kesihatan masyarakat dan kelestarian.

 

 

Ini turut mencerminkan usaha UPM memperluas jaringan strategik bersama industri dalam bidang perubatan dan sains kesihatan selain memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi yang berpotensi diterjemahkan kepada aplikasi kesihatan untuk masyarakat.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Global Precision Diagnostics Sdn. Bhd., Dr. Rebecca Tay Sook Hui, berkata kerjasama tersebut mempunyai nilai tersendiri memandangkan hubungan beliau dengan UPM bermula sebagai alumni sebelum kembali ke universiti sebagai tenaga pengajar dan seterusnya memperoleh PhD.

 

 

“UPM bukan sahaja memberikan kemahiran dalam bidang pengajian malah membina asas yang membolehkannya meneruskan perjalanan dalam bidang sains dan kepimpinan,” katanya.

 

 

Tambah beliau, ini menterjemahkan penemuan kepada impak kritikal, memperkukuh penjagaan pesakit dan mencipta nilai yang bermakna kepada negara.

 

 

“Kami akan membawa pengalaman dan teknologi yang telah dibangunkan melalui kerjasama penyelidikan ini ke makmal yang akan dibangunkan di FPSK UPM,” katanya.

Date of Input: 04/09/2026 | Updated: 04/09/2026 | zarithsofea

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZJGEAG~