Oleh: Dr. Ili Syazana Johari
SERDANG, 14 Sept – Unit Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Science Outreach (PSO) kepada 28 pelajar tingkatan empat dan lima yang mengambil aliran sains dari Sekolah Khalifah Model School Secondary (KMSS), Sepang.
Pensyarah Kanan, Jabatan Kimia, Fakulti Sains, UPM, Dr. Ernee Noryana Muhamad berkata, pelajar yang terlibat dalam program ini merupakan pelajar aliran sains di Sekolah KMSS yang tidak mempunyai kemudahan makmal kimia yang lengkap untuk menjalankan eksperimen.
“Para pelajar telah didedahkan dengan modul sains dan mempelajarinya di sekolah secara teori tanpa melihat sendiri proses berlakunya tindak balas kimia. Program ini dijalankan untuk merealisasikan impian pelajar untuk merasai pengalaman menjalankan eksperimen secara amali,” katanya.
Tambah beliau, program itu juga bertujuan untuk membantu pihak sekolah dalam menghadapi kekangan kemudahan makmal yang lengkap untuk memberikan lebih pemahaman kepada pelajar mengenai subjek kimia yang dipelajari.
“Melalui program ini, beberapa modul sains telah dibangunkan mengikut silibus International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) untuk memberi para pelajar pengalaman dalam menjalankan eksperimen dan mengendalikan peralatan makmal serta memberikan pendedahan tentang peraturan asas yang perlu dipatuhi di dalam makmal bagi tujuan keselamatan,” katanya.
Selain itu, aktiviti ini diharapkan dapat memupuk minat para pelajar sekolah untuk meneruskan pengajian dalam aliran sains pada peringkat yang lebih tinggi di masa akan datang.
Dalam pada itu, Unit STEM, Jabatan Kimia, Fakulti Sains, UPM berhasrat menjadikan program ini sebagai perintis pelbagai program pada masa akan datang untuk berkongsi kepakaran dan kemudahan bersama sekolah khususnya di sekitar Lembah Klang dalam memupuk minat pelajar terhadap bidang sains.
Date of Input: 19/09/2023 | Updated: 19/09/2023 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA