Pendaftaran Pelajar Baharu ASPutra 2024/2025 Penuh Dengan Pelbagai Harapan | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Pendaftaran Pelajar Baharu ASPutra 2024/2025 penuh dengan pelbagai harapan

Pendaftaran Pelajar Baharu ASPutra 2024/2025 penuh dengan pelbagai harapan

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

Foto: Saleha Haron 

 

SERDANG, 25 Julai - Sesi pendaftaran pelajar baharu Program Asasi Sains Pertanian, Pusat Asasi Sains (ASPutra), Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2024/2025 telah berjalan dengan pelbagai reaksi dan emosi pelajar serta ahli keluarga pada hari pertama pendaftaran hari ini.

 

 

Pendaftaran yang berjalan dengan lancar di Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) membuatkan anak kelahiran Tuaran, Sabah iaitu Michelle Mei Yi Denner, 18, berasa bersemangat dan tidak sabar untuk memulakan sesi kuliahnya walaupun perlu berjauhan dengan keluarga tercinta.

“Saya merupakan anak tunggal dalam keluarga walaupun rasa sedih nak tinggalkan keluarga yang jauh di Sabah tetapi saya tetap rasa gembira kerana berjaya menempatkan diri di UPM dan ASPutra merupakan pilihan pertama saya.

“Selepas tamat pengajian, saya sangat berharap dapat menyambung pengajian dalam bidang veterinar di sini juga. Semoga saya berjaya untuk mencapai cita-cita saya,” katanya.

 

Sementara itu, Pavanraj Singh Randhawa,18 dari Kajang pula tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya kerana diterima masuk ke ASPutra.

“Saya sangat menantikan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang akauntan atau ekonomi kerana saya melihat UPM mempunyai ranking yang baik bagi Sekoleh Pengajian Ekonomi (SPE). Saya harap saya boleh cemerlang sepanjang berada di asasi,” ujarnya yang merupakan anak bongsu dari empat orang adik-beradik.

 

Kamaliya Darwisya Kamaruzzaman, 18, dari Klang, turut berkongsi kegembiraannya setelah pilihan pertamanya untuk menyambung pengajian di UPM selepas tamat sesi persekolahan berjaya diterima.

Dalam pada itu, Wan Ammar Irfan Wan Abdul Manan dari Terengganu memilih ASPutra kerana melihat potensi yang tinggi untuk diterokai dalam bidang tersebut.


Senada dengannya, Danish Farhan Mohamad Rafinizam,18, dari Kajang, yang pernah menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), berharap dapat melalui pembelajaran dengan baik untuk menjadi seorang doktor perubatan dan saling menyokong antara satu sama lain.

 

"Saya mempunyai harapan untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan. Semoga rakan-rakan baharu di sini saling bekerjasama untuk membantu antara satu sama lain dan berusaha mencapai kejayaan serta cita-cita yang diinginkan demi membanggakan keluarga dan diri sendiri," ujarnya. -UPM

Date of Input: 25/07/2024 | Updated: 25/07/2024 | ezzatyazhari

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXKSPAx~