5,000 Pelajar UPM Meriahkan Kejohanan Merentas Kampus Sukan Kolej UPM 2026/2027 | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» NEWS » 5,000 pelajar UPM meriahkan Kejohanan Merentas Kampus Sukan Kolej UPM 2026/2027

5,000 pelajar UPM meriahkan Kejohanan Merentas Kampus Sukan Kolej UPM 2026/2027

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 25 November – Seramai 5,000 mahasiswa daripada sembilan kolej kediaman Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Kejohanan Merentas Kampus Sukan Kolej UPM Sesi 2026/2027 yang berlangsung di Stadium UPM baru-baru ini bagi menyemarakkan budaya hidup aktif dan semangat kesukanan dalam kalangan warga kampus.

 

Penganjuran kejohanan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Akademi Sukan UPM dalam memperkukuh pembudayaan sukan serta menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan mahasiswa.

 

Pengarah Akademi Sukan UPM, Prof. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban, berkata kejohanan itu membuka peluang untuk mengenal pasti bakat baharu pelajar UPM yang berpotensi diketengahkan bagi mewakili universiti dalam kejohanan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

“Penganjuran kejohanan ini mencerminkan komitmen UPM dalam melahirkan graduan bitara yang holistik, ihsan, patriotik dan berdaya tahan, di samping membentuk mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, fizikal, mental dan sahsiah melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kesukanan,” katanya.

 

Selain itu, kejohanan itu mempertandingkan dua kategori utama, iaitu larian lelaki sejauh tujuh kilometer (7km) dan wanita sejauh lima kilometer (5km) dengan penyertaan menggalakkan daripada mahasiswa pelbagai kolej kediaman.

 

Dalam kejohanan tersebut, Kolej Sepuluh (K10) muncul Johan Keseluruhan Kategori Lelaki, manakala Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB) dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Kategori Wanita berdasarkan kutipan mata tertinggi.

 

Bagi pencapaian individu, pelajar Kolej Kediaman Kolej Canselor (KC), Hong Xyan menjuarai kategori wanita, dan Pelajar Kolej Pendeta Za’ba (KPZ), Sri Murugan a/l Sundramoorthy mengungguli kategori lelaki.

 

Dalam pada itu, Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Merentas Kampus Sukan Kolej UPM Sesi 2026/2027 disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Arifin bin Abdu, bersama Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej UPM Prof. Dr. Mohamad Aris Mohd Mokhlas, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan komitmen para peserta.

Date of Input: 25/11/2026 | Updated: 25/11/2026 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLaBAF~