Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 18 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Asian Medical Students’ Association – Universiti Putra Malaysia (AMSA-UPM), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan telah menganjurkan Diabetes Day 2025 bagi meningkatkan kesedaran dan kesejahteraan holistik terhadap penyakit diabetes kepada komuniti.
Program bertemakan ‘Positive Steps Towards Health’ ini memberi tumpuan kepada pencegahan diabetes, inovasi dalam kesihatan digital serta pemerkasaan ekonomi dan kepimpinan wanita.
Ketua Program, Ng Zen Ru, berkata penganjuran program ini adalah komitmen bersama terhadap kesejahteraan menyeluruh dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mencurah bakti dengan menyediakan pengalaman kesihatan yang bermakna kepada semua pengunjung,” katanya.
Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini memainkan peranan yang proaktif sebagai pemudah cara kepada penyelesaian digital, khususnya dalam bidang kesihatan awam.
“Sokongan infrastruktur di bawah program NADI (National Advanced Digital Infrastructure) telah memulakan pengenalan perkhidmatan saringan kesihatan mudah alih yang menyediakan penjagaan kesihatan asas dan pencegahan kepada populasi luar bandar.
“Kesihatan digital bukan sekadar teknologi tetapi soal pemberdayaan yang boleh membantu menjimatkan masa, mengurangkan beban logistik serta meningkatkan peluang rawatan awal untuk masyarakat dan keluarga,” ujarnya.
Pakar Perubatan Perunding Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Norlen Mohamed menyatakan bahawa diabetes bukan sahaja isu perubatan tetapi merupakan isu sosial yang perlu dirawat.
“Penyelesaian ini memerlukan pendekatan lintas melalui dasar pendidikan, perancangan bandar, penglibatan komuniti, dan sokongan ekonomi.
“Saya percaya program ini tidak mudah untuk pelajar mengendalikan tetapi mereka berjaya melakukan serta pelajar yang terlibat dapat menimba ilmu dan pengetahuan luas,” katanya dalam seminar kesihatan yang diadakan tadi.
Tarikh Input: 19/05/2025 | Kemaskini: 19/05/2025 | aghniya
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA