Rumput Laut: Penapis Biologi Dan Pelindung Biodiversiti Laut Negara | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTICLE » Rumput Laut: Penapis Biologi dan Pelindung Biodiversiti Laut Negara

Rumput Laut: Penapis Biologi dan Pelindung Biodiversiti Laut Negara

Article Summary
Rumput laut, tumbuhan marin yang sering dipandang enteng, sebenarnya memainkan peranan besar sebagai “penapis semula jadi” ekosistem laut negara. Kehilangannya bukan sahaja mengancam biodiversiti, malah menjejaskan sumber pendapatan nelayan serta keseimbangan alam sekitar pesisir.


 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

Rumput laut, tumbuhan marin yang sering dipandang enteng, sebenarnya memainkan peranan besar sebagai “penapis semula jadi” ekosistem laut negara. Kehilangannya bukan sahaja mengancam biodiversiti, malah menjejaskan sumber pendapatan nelayan serta keseimbangan alam sekitar pesisir.

 

Rumput laut berfungsi menapis air laut agar kekal jernih, menstabilkan sedimen, mengurangkan hakisan pantai, selain menjadi habitat pembiakan, tempat makan, dan perlindungan kepada pelbagai organisma marin. Ia turut mengawal kitaran nutrien seperti nitrogen, menjadikan ekosistem lebih produktif dan seimbang.

 

Namun, ekosistem ini kini semakin terancam akibat perubahan iklim, pencemaran dan pembangunan pesisir pantai. Situasi ini menjejaskan habitat penting hidupan marin ikonik negara seperti penyu dan dugong.

 

Pensyarah Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Muta Harah Zakaria, berkata rumput laut bukan sahaja penting kepada biodiversiti, tetapi juga menyokong kelangsungan sumber ekonomi komuniti pesisir.

 

“Rumput laut adalah sebahagian daripada jaringan makanan. Ikan makan rumput laut, udang juga makan rumput laut, dan dugong menjadikannya makanan utama. Apabila ikan mendapat sumber makanan yang baik, hasil tangkapan nelayan turut meningkat, dan akhirnya kita semua mendapat manfaat,” katanya.

 

Beliau menambah, ekosistem rumput laut yang sihat menarik lebih banyak hidupan laut sekali gus meningkatkan hasil tangkapan. Antara spesies bernilai ekonomi yang bergantung kepada rumput laut ialah siput gonggong, yang hanya boleh ditemui di kawasan berumput laut.

 

“Di Johor, harga siput gonggong di Jeti Sungai Pendas, Gelang Patah sekitar RM15 hingga RM20 sekilogram, manakala di Sabah harganya boleh mencecah RM55 sekilogram. Selain menjana pendapatan, kawasan rumput laut yang terpelihara juga berpotensi menjadi destinasi ekopelancongan, khususnya bagi aktiviti pemerhatian dugong, penyu dan pelbagai spesies marin,” jelasnya.

 

Selain sebagai sumber makanan, rumput laut turut berfungsi mengekalkan kejernihan air laut iaitu faktor penting bagi kelangsungan hidup terumbu karang. Tanpa air yang bersih, ekosistem karang akan terjejas dan seterusnya memberi kesan berantai kepada seluruh rantaian makanan laut.

 

Menurut Prof. Dr. Muta Harah, penyelidikan mengenai rumput laut di Malaysia bermula sekitar 1989. Walaupun tidak digunakan secara langsung sebagai makanan seperti rumpai laut, peranan rumput laut jauh lebih kritikal kerana ia adalah tumbuhan berbunga dengan akar, batang, daun, bunga dan buah, yang membiak melalui biji benih dan rizom – sama seperti tumbuhan darat.

 

Malaysia kini merekodkan sekurang-kurangnya 17 spesies rumput laut, termasuk Enhalus acoroides yang boleh mencapai ketinggian sehingga 1.5 meter dan berbunga sepanjang tahun.

 

Prof. Dr. Muta Harah, yang telah mengkaji rumput laut sejak 1995 termasuk spesies terkecil di dunia Halophila beccarii, menjelaskan bahawa pembiakan bergantung kepada spesies – ada yang hidup berterusan, ada juga yang bersifat tahunan dengan kitaran hidup antara enam hingga sembilan bulan.

 

“Dari sudut biologi reproduktif, terdapat jenis monoecious (bunga jantan dan betina pada pokok sama) dan dioecious (bunga jantan dan betina pada pokok berasingan). Inilah sebabnya usaha penanaman semula perlu dilakukan dengan teliti menggunakan biji benih bagi mengelakkan ketidakseimbangan jantina yang boleh menjejaskan pembiakan,” katanya.

 

Beliau menegaskan bahawa pemeliharaan rumput laut amat penting bukan sahaja untuk memastikan kelangsungan spesies marin seperti dugong yang menjadikannya makanan utama, tetapi juga untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem, meningkatkan pendapatan nelayan, serta menyokong ekonomi negara melalui ekopelancongan.

 

“Oleh itu, penjagaan dan penanaman semula rumput laut perlu diberi perhatian serius, dilaksanakan secara saintifik, dan disokong oleh dasar pemuliharaan yang mampan,” katanya.

 

Date of Input: 26/08/2025 | Updated: 26/08/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYIaXA4~