Produk Hiliran Rambutan: Meningkatkan Nilai Pasaran Dan Inovasi Tempatan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Produk Hiliran Rambutan: Meningkatkan Nilai Pasaran dan Inovasi Tempatan

Produk Hiliran Rambutan: Meningkatkan Nilai Pasaran dan Inovasi Tempatan

Article Summary
Rambutan (Nephelium lappaceum) ialah sejenis tanaman buah tropika bermusim. Musim utama rambutan biasanya berlangsung dari bulan Jun hingga Ogos, manakala musim kedua jatuh pada bulan Disember hingga Januari. Namun begitu, masalah lambakan buah rambutan sering menjadi isu besar setiap kali musim tiba.


 

Pada awal Januari 2025, meriah dengan musim rambutan. Di mana-mana sahaja, buah ini dijual oleh penjual di tepi jalan dan di hampir semua pasar raya di seluruh negara. Rasa manis yang menyegarkan, rambutan menjadi kegemaran masyarakat pelbagai lapisan umur.

Rambutan (Nephelium lappaceum) ialah sejenis tanaman buah tropika bermusim. Musim utama rambutan biasanya berlangsung dari bulan Jun hingga Ogos, manakala musim kedua jatuh pada bulan Disember hingga Januari.

Namun begitu, masalah lambakan buah rambutan sering menjadi isu besar setiap kali musim tiba.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Md Aiman Takrim Zakaria, buah yang rosak dan tidak terjual menimbulkan cabaran besar kepada industri buah-buahan tempatan, terutamanya apabila tiada strategi yang mantap untuk menangani masalah tersebut.

Buah rambutan mempunyai potensi untuk dikembangkan dengan lebih jauh melalui kolaborasi kerajaan dan sektor swasta, buah rambutan boleh dipromosikan di pasaran domestik dan antarabangsa.

Beberapa strategi boleh diambil untuk membangunkan industri ini. Pertama, penggunaan teknologi terkini seperti pengawalatur tumbuhan perlu diperluaskan untuk meningkatkan pengeluaran rambutan sepanjang tahun.

Teknologi ini menggunakan hormon untuk menginduksi pendebungaan rambutan bagi memastikan pokok rambutan  akan berbuah walau di luar musim utama.

Kedua, inovasi pelbagai produk hiliran seperti air tin rambutan, gula-gula rambutan, rambutan kering, jem, jeli, koktel, dan jeruk. Produk ini bukan sahaja lebih tahan lama tetapi juga mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi.

Namun, semua produk hiliran perlu mematuhi piawaian keselamatan makanan seperti pensijilan Halal dan HACCP bagi menjamin keselamatan serta kebolehpasaran di peringkat antarabangsa.

 

Ketiga, aplikasi teknologi pemprosesan makanan perlu dipergiatkan untuk memastikan produk rambutan dapat dihasilkan dengan kualiti tinggi. Contohnya, inovasi seperti aiskrim rambutan atau sirap rambutan boleh menarik minat pasaran yang lebih luas.

Keempat, kaedah pemasaran kreatif, termasuk platform e-dagang dan strategi promosi digital, dapat membantu meningkatkan kesedaran tentang produk rambutan di kalangan pengguna tempatan dan juga antarabangsa.


Kelima, mengubah cara penanaman rambutan kearah ladang rambutan berskala besar yang bersistematik. Hasil buah rambutan tersebut  boleh dikumpulkan di pusat pengumpulan yang dilengkapi dengan kemudahan bilik sejuk bagi memastikan kualiti buah terjaga sepanjang tahun.

 

Keenam, aktiviti penyelidikan perlu dipergiatkan bagi menghasilkan varieti rambutan baharu yang lebih tahan lama dan berkualiti tinggi. Tambahnya, mengoptimumkan penggunaan teknologi makanan mampu mendorong perkembangan industri serta membantu masyarakat menjana pendapatan.

 

Industri makanan merupakan sektor penting dalam ekonomi negara. Gabungan usaha antara kerajaan, swasta, dan petani, serta sokongan teknologi dan inovasi, industri ini mampu melangkah lebih jauh.

 

Masa depan industri rambutan terletak pada keupayaan semua pihak untuk memanfaatkan potensi sepenuhnya buah tempatan ini dan menjadikannya aset yang bernilai di peringkat global.

 

Date of Input: 03/02/2025 | Updated: 03/02/2025 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYCDXAh~