Pembangunan Ancam Lebah Madu | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Pembangunan Ancam Lebah Madu

Pembangunan Ancam Lebah Madu

Article Summary
Lebah membantu pendebungaan utama 75% tanaman makanan dunia seperti epal, tembikai, timun dan labu. Kepupusan mereka menjejaskan hasil tani, menaikkan harga dan memaksa pendebungaan manual mahal. Usaha pemuliharaan, habitat mesra lebah, dan inovasi teknologi sarang pintar serta sokong industri madu tempatan.


Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: MD Nasir Hussin

 

 

Hari ini, 3 daripada setiap 4 jenis tanaman makanan dunia bergantung kepada pendebungaan oleh serangga, terutamanya lebah.

 

Tanpa makhluk kecil ini, kita bukan sahaja akan kehilangan pelbagai hasil tani seperti buah dan sayur, tetapi juga kehilangan nutrisi penting yang menjadi asas pemakanan seimbang seperti vitamin, mineral, dan zat semula jadi yang menyokong kesihatan manusia.

 

Kepupusan lebah bukan isu kecil. Ia adalah pencetus kepada krisis makanan yang boleh mengancam keterjaminan makanan global. Harga makanan akan melonjak dan hasil tanaman akan merosot.  Semua ini bermula dengan satu kehilangan kecil yang memberi kesan besar, hilangnya seekor lebah.

 

 

Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syari Jamian berkata sekitar 75 peratus tanaman makanan dunia seperti epal, tembikai, timun dan labu amat bergantung kepada pendebungaan oleh lebah. Lebah bukan sekadar pengeluar madu, mereka ialah ejen penting dalam memastikan tanaman berbuah, biodiversiti terpelihara dan keseluruhan rantai makanan terus hidup.

 

Madu lebah pula memberi manfaat kesihatan seperti merawat luka, melegakan batuk, menguatkan imun dan menyokong pencernaan. Ia juga menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui industri madu dan penternakan lebah.

 

“Jika lebah pupus, pendebungaan akan terhenti. Ini bukan sahaja mengurangkan kualiti dan kuantiti hasil tanaman, tetapi juga menjejaskan akses makanan dan meningkatkan harga,” jelas beliau.

 

Kos pengeluaran turut meningkat apabila petani terpaksa menggunakan kaedah pendebungaan manual yang mahal dan memakan masa.

 

 

Tambah beliau lagi, populasi lebah kini berada dalam keadaan membimbangkan. Di Amerika Syarikat, sebanyak 70% koloni lebah madu dijangka lenyap menjelang 2025. Eropah pula mencatatkan penurunan 65% populasi lebah liar setiap dekad. Malaysia juga tidak terkecuali, pembangunan pesat, penggunaan racun perosak tidak mesra pendebunga, serta perubahan iklim semakin menghimpit kelangsungan spesies ini.

 

“Terdapat pelbagai jenis lebah yang memainkan peranan penting dalam pertanian, termasuk lebah madu (Apis mellifera), lebah tukang (Bombus), lebah tanpa sengat (TrigonaMelipona), dan lebah pemotong daun (Megachile). Setiap spesies memiliki kepakaran tersendiri dalam mendebungakan tanaman bernilai seperti durian, tomato, alfalfa dan banyak lagi” ujarnya.

 

 

Usaha menyelamatkan populasi lebah kini giat dijalankan melalui penyelidikan saintifik, pembangunan habitat mesra pendebunga, teknologi sarang pintar, dan inovasi seperti robot pendebunga. Namun tiada teknologi moden yang dapat menggantikan kecekapan seekor lebah semula jadi yang mampu melawat hingga 5,000 bunga dalam sehari.

 

Dr. Syari menegaskan bahawa usaha perlindungan lebah perlu melibatkan semua pihak, daripada masyarakat umum hingga petani dan pembuat dasar. Langkah-langkah seperti menanam bunga mesra lebah, mengurangkan racun kimia, dan menyokong madu tempatan boleh memberi impak besar.

Date of Input: 25/04/2025 | Updated: 25/04/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYEaNAs~