Pelajar UPM Cipta Vermacres Mini Pot, Galak Pertanian Bandar Mesra Alam | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» ARTICLE » Pelajar UPM cipta Vermacres Mini Pot, galak pertanian bandar mesra alam

Pelajar UPM cipta Vermacres Mini Pot, galak pertanian bandar mesra alam

Article Summary
Menanam sendiri bukan lagi sekadar hobi, tetapi strategi hidup untuk generasi masa depan. Ketika populasi bandar terus berkembang dan kebergantungan terhadap bekalan makanan luar kian meningkat, inisiatif pertanian berskala kecil di kediaman menjadi semakin relevan dalam usaha menjamin keperluan asas makanan yang selamat, segar dan berkhasiat.


Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari

 


Menanam sendiri bukan lagi sekadar hobi, tetapi strategi hidup untuk generasi masa depan. Ketika populasi bandar terus berkembang dan kebergantungan terhadap bekalan makanan luar kian meningkat, inisiatif pertanian berskala kecil di kediaman menjadi semakin relevan dalam usaha menjamin keperluan asas makanan yang selamat, segar dan berkhasiat.

 

Melihat potensi tersebut, dua pelajar Tahun 2 Bacelor Teknologi Pertanian Pintar, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Yap Zhan How dan Teng Hao Wen tampil dengan Mini Pot, produk di bawah jenama Vermacres yang dibangunkan sendiri bagi menggalakkan amalan pertanian mesra alam dalam ruang kediaman yang terhad.

 

Mini Pot merupakan kit tanaman lengkap yang mengandungi media semula jadi seperti cocopeat dan vermikompos, bersama benih empat jenis tumbuhan pilihan iaitu lavender, gypsophila, cat grass, dan mosquito repellent grass.

 

Menurut Yap Zhan How, idea penghasilan Mini Pot tercetus daripada minat mendalam mereka terhadap bidang pertanian serta keinginan untuk memperkenalkan produk yang menyokong gaya hidup lestari dan praktikal di kawasan bandar.

 

 

“Kami mahu hasilkan produk yang bukan sahaja memudahkan orang ramai bercucuk tanam dalam ruang terhad, tetapi untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya amalan hijau. Mini Pot direka sebagai titik permulaan yang mudah, mesra pengguna dan sesuai untuk semua peringkat,” katanya.

 

Rakannya, Teng Hao Wen, berkata, media tanaman yang digunakan dibangunkan melalui proses vermicomposting, iaitu kaedah penguraian sisa makanan seperti sayur dan buah menggunakan cacing African Night Crawlers untuk menghasilkan baja organik berkualiti tinggi.

 

“Vermikompos bukan sahaja membekalkan nutrien semula jadi kepada tanaman, malah membantu mengurangkan pembaziran makanan harian. Ia merupakan baja yang selamat, efektif dan menyuburkan tanah secara semula jadi,” katanya.

 

Tambah beliau, pemilihan empat jenis tanaman tersebut dibuat berdasarkan fungsi dan nilai tambah masing-masing. Lavender menghasilkan aroma menyegarkan, cat grass membantu sistem penghadaman kucing, gypsophila popular sebagai hiasan dan hadiah, manakala mosquito repellent grass bertindak sebagai agen semula jadi mencegah serangga.

 

“Mini Pot turut menyediakan kod QR dalam setiap unit yang menghubungkan pengguna kepada tutorial penanaman, panduan penjagaan serta komuniti atas talian yang aktif. Komuniti ini berperanan sebagai ruang sokongan bagi pengguna berkongsi perkembangan tanaman, memberi maklum balas dan bertanya soalan secara langsung,” katanya.

 

 

Selain itu, matlamat mereka adalah untuk menjadikan pengalaman bercucuk tanam ini lebih inklusif, menyeronokkan dan boleh diakses oleh semua golongan, tidak mengira atau latar belakang.

 

Namun, proses pembangunan Mini Pot turut berdepan pelbagai cabaran, termasuk kekangan kewangan, penyelenggaraan cacing yang sensitif terhadap suhu, serta had dari segi pemasaran kerana segala proses dijalankan sepenuhnya oleh mereka berdua.

 

Walaupun mereka berdepan pelbagai kekangan, mereka yakin Mini Pot boleh memberi manfaat dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menanam sendiri dan mengurangkan sisa makanan.

 

Dalam pada itu, harapan mereka agar usaha kecil ini dapat mencetuskan perubahan besar dalam cara masyarakat melihat pertanian serta menyumbang ke arah keterjaminan makanan negara yang lebih Lestari.

Date of Input: 16/07/2025 | Updated: 16/07/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYHRAA5~