Article Summary
Ledakan kandungan video pendek seperti TikTok, Reels, dan YouTube Shorts memberi impak besar terhadap kesejahteraan individu, khususnya dalam aspek psikologi, sosial dan kekeluargaan.
SERDANG, 4 Mac – Ledakan kandungan video pendek seperti TikTok, Reels, dan YouTube Shorts memberi impak besar terhadap kesejahteraan individu, khususnya dalam aspek psikologi, sosial dan kekeluargaan.
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM, Profesor Madya Dr. Zainal Madon berkata media elektronik seperti televisyen sebelum ini juga membawa pengaruh tersendiri, kebolehcapaian tinggi kandungan digital hari ini menjadikan impaknya lebih meluas dan kompleks.
“Dari sudut positif, video pendek dapat menyampaikan maklumat dengan pantas, mengemas kini pengetahuan serta menyebarkan kemahiran seperti memasak, pengurusan kewangan, dan gaya hidup. Kandungan yang dirancang dengan baik dan mempunyai objektif yang jelas boleh memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.
Namun, beliau mengakui kebebasan dalam ekosistem digital juga membawa cabaran besar, terutamanya dengan kemunculan pencipta kandungan yang tidak bertauliah serta penyebaran maklumat yang tidak ditapis.
“Maklumat yang tidak tepat boleh mencetuskan salah faham, fitnah dan bahkan menyumbang kepada diskriminasi serta stereotaip terhadap kumpulan tertentu. Malah, fatwa atau pandangan agama yang menyimpang juga boleh tersebar dengan mudah memberi kesan buruk kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kandungan video yang sensasi dan provokatif mampu menggugat keharmonian sosial serta perpaduan komuniti.
“Terdapat kandungan yang memberi tekanan sosial kepada individu dengan mencetuskan perbandingan hidup yang tidak realistik, lantas mewujudkan rasa rendah diri. Dalam institusi keluarga fenomena ini boleh menimbulkan ketegangan dan mengganggu dinamika hubungan,” katanya.
Lebih membimbangkan dalam jangka panjang individu mungkin terdorong untuk menonjolkan imej palsu bagi menutup kelemahan diri dan hidup dalam kepura-puraan.
Mengulas mengenai tanggungjawab pencipta kandungan, Dr. Zainal menekankan kepentingan kawal selia kendiri (self-regulation) dalam penghasilan kandungan digital.
“Pencipta kandungan perlu ada kesedaran tentang tanggungjawab sosial dan memahami kesan besar yang boleh berlaku akibat penyebaran maklumat yang tidak tepat atau toksik. Pendidikan literasi media juga amat penting bagi memastikan masyarakat dapat menilai maklumat dengan lebih bijak,” katanya.
Beliau turut menyeru agar keseimbangan antara kebebasan berkarya dan etika dalam penghasilan kandungan diberikan perhatian supaya platform digital dapat dimanfaatkan secara positif tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, Dr. Mastura Mahamed berkata platform video pendek juga semakin berpengaruh dalam bidang kewartawanan dengan agensi berita arus perdana mula mengadaptasi format ini bagi menarik perhatian pengguna digital.
“Generasi muda semakin cenderung menjadikan video pendek sebagai sumber utama berita. Ini mendorong banyak organisasi berita untuk mengubah strategi penyampaian kandungan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan landskap digital,” katanya.
Namun, beliau turut bimbang terhadap risiko penyuntingan semula kandungan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengubah naratif berita demi meraih perhatian.
“Kadang-kadang video asal disunting untuk menukar hala tuju berita, menjadikannya lebih sensasi dan ada kalanya tidak benar,” katanya.
Dr. Mastura yang juga Penyelidik, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM, turut menekankan bahawa risiko ini bukan sahaja menjejaskan ketepatan maklumat tetapi juga kesejahteraan mental dan sosial masyarakat.
“Apabila kandungan asli telah diubah dan diedit oleh pihak tertentu, mesej sebenar boleh terjejas, menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Dalam konteks global, Dr. Mastura membandingkan situasi di Malaysia dengan Indonesia, di mana masyarakat di sana lebih terbuka terhadap penggunaan platform seperti TikTok sebagai sumber berita.
“Kajian mengenai landskap kewartawanan di Malaysia dan Indonesia menunjukkan bahawa di Indonesia, TikTok lebih diterima sebagai medium penyampaian berita. Namun, di Malaysia, masih terdapat cabaran dalam memastikan kesahihan kandungan berita dalam format video pendek,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk meningkatkan kesedaran mengenai risiko maklumat salah (misinformation) dan maklumat palsu (disinformation).
“Video pendek boleh menjadi sumber berita yang berkesan, tetapi perlu ada mekanisme kawalan dan tanggungjawab etika dalam penghasilan serta penyebarannya bagi mengelakkan gangguan terhadap kesejahteraan mental dan sosial masyarakat,” katanya.
Date of Input: 05/03/2025 | Updated: 05/03/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA