Ganja: Herba Semulajadi Atau Ancaman Kesihatan? | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Ganja: Herba Semulajadi Atau Ancaman Kesihatan?

Ganja: Herba Semulajadi Atau Ancaman Kesihatan?

Article Summary
Ganja sering dianggap selamat, tetapi kajian menunjukkan ia boleh menyebabkan ketagihan dan menjejaskan kesihatan mental. Di Malaysia, golongan belia adalah kumpulan utama yang menyalahgunakannya, sering sebagai langkah awal kepada dadah lebih berbahaya. Walaupun ada manfaat perubatan, risiko sosial dan kesihatan lebih besar. Malaysia kekal tegas mengharamkan ganja di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, mengambil iktibar daripada negara jiran yang menghadapi kesan negatif selepas legalisasi.


Oleh:  Nur Syamila Kamarul Arefin

 

 

Ganja sering dianggap sebagai bahan semula jadi yang tidak berbahaya, terutama oleh golongan muda. Namun, persepsi ini jauh menyimpang daripada realiti. Kajian menunjukkan bahawa peningkatan bahan aktif tetrahydrocannabinol (THC) meningkatkan risiko ketagihan, menjejaskan perkembangan mental serta kognitif individu.

 

Di peringkat global, laporan menunjukkan peningkatan penggunaan ganja sebanyak 18% antara tahun 2010 hingga 2019. Fenomena ini sangat ketara di Afrika dan Asia, manakala negara seperti Eropah Barat, Amerika Utara, dan Oceania mencatatkan trend yang lebih stabil.

Walau bagaimanapun, penggunaan ganja dalam kalangan remaja berumur 15 hingga 16 tahun lebih tinggi berbanding golongan dewasa. Masalah ini bertambah buruk dengan populariti vape yang mengandungi perasa ganja seperti Cannabidiol (CBD) dan THC, menjadikan penyalahgunaannya lebih mudah dan meluas.

 

Di Malaysia, statistik menunjukkan bahawa golongan belia berumur 15 hingga 40 tahun merupakan kumpulan terbesar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Dalam kalangan remaja, ganja sering menjadi dadah permulaan atau "gateway drug" kepada bahan yang lebih berbahaya seperti heroin dan amphetamine-type stimulants (ATS).

 

Penemuan ini sejajar dengan kajian dari Barat yang menunjukkan hubungan jelas antara penggunaan ganja dan risiko penggunaan dadah lain.

 

Persepsi ganja bukanlah dadah

 

Menurut  Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohamad Salleh Abdul Ghani, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan ganja ialah salah tanggapan bahawa ia adalah bahan yang selamat.

 

 

World Drug Report mendapati sejak tahun 1995, kekuatan ganja telah meningkat empat kali ganda, tetapi persepsi terhadap bahaya bahan ini semakin berkurang. Ramai yang percaya bahawa ganja tidak membawa mudarat kerana ia adalah bahan semula jadi.

 

Namun, hakikatnya, penggunaan ganja secara berterusan boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, termasuk gangguan mental seperti psikosis, depresi, dan kecelaruan emosi.

 

Media sosial dan budaya popular turut menyumbang kepada normalisasi penggunaan ganja. Filem, muzik, dan drama sering menggambarkan ganja sebagai bahan santai yang "cool" dan menyeronokkan, sekali gus menjadikannya kelihatan diterima secara sosial.

Maklumat yang salah ini meningkatkan risiko penyalahgunaan, terutama dalam kalangan remaja yang mudah terpengaruh.

 

Dalam kalangan penyokong ganja, manfaat perubatan sering dijadikan hujah utama untuk menyokong legalisasi. Memang benar terdapat kajian yang menunjukkan ganja boleh membantu dalam rawatan penyakit seperti sakit kronik dan epilepsi.

 

Namun, bukti klinikal juga menunjukkan bahawa manfaat ini tidak mampu mengatasi risiko sosial, kesihatan, dan ekonomi yang timbul daripada penyalahgunaan bahan ini.

 

Malaysia kekal tegas dalam pendirian terhadap ganja, yang dikategorikan sebagai dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dihukum penjara atau di gantung sampai mati.

 

Akta Dadah Berbahaya 1952 atau dikenali Akta 234 memperuntukkan kawalan dari segi pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan dan penggunaan candu dan beberapa bahan dan dadah merbahaya tertentu.

 

Seksyen 6B Akta 234 dalam akta berkenaan juga jelas memperuntukkan bahawa penggunaan ganja untuk tujuan penyelidikan, pendidikan, eksperimentasi dan tujuan perubatan dibenarkan dengan kawalan yang ketat.

 

Kesan legalasi ganja

 

Legalisasi ganja mungkin memberikan faedah ekonomi, tetapi ia juga membawa risiko besar kepada masyarakat. Penggunaan yang tidak terkawal boleh menjejaskan kesihatan mental, meningkatkan kadar ketagihan, dan membebankan sistem kesihatan.

 

Dari segi sosial, ia boleh mengubah norma masyarakat, menyebabkan penerimaan yang lebih meluas terhadap dadah. Pengalaman negara jiran seperti Thailand, yang menghadapi cabaran selepas legalisasi ganja, menjadi peringatan bahawa risiko ini tidak boleh diabaikan.

 

Malaysia masih belum bersedia untuk dilegalisasikan penggunaan ganja secara keseluruhannya. Manfaat dari segi ekonomi dan perubatan sememangnya ada namun risiko terhadap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat tidak boleh diabaikan.

 

Malaysia perlu mengambil iktibar dari kerajaan Thailand yang kembali mengetatkan undang-undang penggunaan ganja setelah dua tahun legalisasi lebih memberi kesan negatif termasuk peningkatan ketagihan dan masalah kesihatan awam.

 

Isu ganja adalah persoalan kompleks yang memerlukan pendekatan berhati-hati. Malaysia perlu menilai implikasi dari sudut kesihatan, sosial, dan ekonomi sebelum membuat sebarang keputusan tentang legalisasi.

 

Manfaat dari segi perubatan dan ekonomi harus diimbangi dengan risiko yang lebih besar terhadap kesejahteraan masyarakat. Dengan pemahaman yang lebih mendalam dan maklumat yang tepat, kita dapat melindungi generasi muda daripada bahaya bahan ini.

Date of Input: 03/02/2025 | Updated: 03/02/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYCDXAe~