Article Summary
Bioteknologi dijangka memainkan peranan semakin penting dalam memastikan bekalan makanan negara terus mencukupi dan berkualiti ketika sektor agromakanan berdepan cabaran perubahan iklim, peningkatan risiko penyakit serta pertambahan permintaan makanan global.

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
SERDANG, 29 Jun –Bioteknologi dijangka memainkan peranan semakin penting dalam memastikan bekalan makanan negara terus mencukupi dan berkualiti ketika sektor agromakanan berdepan cabaran perubahan iklim, peningkatan risiko penyakit serta pertambahan permintaan makanan global.
Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mariatulqabtiah Abdul Razak berkata, teknologi berasaskan bioteknologi kini menjadi antara penyelesaian strategik yang mampu membantu negara meningkatkan pengeluaran makanan secara mampan dan berdaya tahan.
Menurut beliau, keperluan memperkukuh keterjaminan makanan negara semakin mendesak apabila sektor pertanian dan penternakan berdepan kesan cuaca yang tidak menentu, termasuk kemarau berpanjangan, banjir serta peningkatan serangan penyakit yang boleh menjejaskan produktiviti.
“Jika kita mahu memastikan bekalan makanan negara terus stabil dalam keadaan cuaca yang semakin mencabar, bioteknologi bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan.
“Berbekalkan pengetahuan sains asas dalam memahami bagaimana tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma bertindak balas terhadap penyakit, tekanan persekitaran dan perubahan iklim, penyelidik dapat membangunkan pelbagai inovasi bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa bioteknologi merupakan aplikasi ilmu biologi yang memanfaatkan organisma hidup, sel dan molekul bagi menghasilkan produk baharu atau menambah baik produk sedia ada untuk pelbagai kegunaan termasuk dalam sektor pertanian, makanan dan penternakan.
Katanya, antara inovasi yang sedang dibangunkan termasuk vaksin haiwan, teknologi pengesanan penyakit secara pantas, kultur tisu, penggunaan mikroorganisma bermanfaat serta pembangunan enzim yang mampu meningkatkan kecekapan pengeluaran dalam industri makanan dan pertanian.
“Apabila kita bercakap mengenai keterjaminan makanan, ia bukan hanya berkaitan tanaman atau ternakan semata-mata.
“Kita juga perlu melihat aspek kesihatan haiwan, kesuburan tanah, pemakanan ternakan dan teknologi yang dapat membantu meningkatkan produktiviti secara keseluruhan,” katanya.
Dr. Mariatulqabtiah berkata, penyelidik UPM turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai institusi penyelidikan dan industri bagi membangunkan teknologi yang mampu menyokong agenda keterjaminan makanan negara secara menyeluruh.
Beliau berkata, perubahan iklim yang semakin ketara menuntut pendekatan baharu yang lebih inovatif berbanding kaedah tradisional semata-mata.
“Perubahan iklim menyebabkan cuaca menjadi semakin ekstrem. Keadaan ini memberi kesan langsung kepada hasil tanaman dan penternakan serta meningkatkan risiko penyakit yang boleh mengganggu bekalan makanan.
“Justeru, bioteknologi dapat membantu menghasilkan varieti tanaman yang lebih tahan terhadap tekanan persekitaran, kemarau dan penyakit, selain meningkatkan daya tahan sektor agromakanan negara,” katanya.
Menurut beliau, teknologi vaksin dan kaedah kawalan penyakit yang lebih berkesan juga terus dibangunkan bagi memastikan sektor penternakan dapat mengekalkan tahap produktiviti walaupun berdepan pelbagai cabaran persekitaran.

“Matlamat utama kita adalah untuk memastikan rakyat sentiasa mempunyai akses kepada bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan berkualiti walaupun berdepan pelbagai cabaran global,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan bioteknologi dalam memperkukuh keterjaminan makanan memerlukan kerjasama erat antara universiti, industri, kerajaan dan komuniti.
Katanya, universiti berperanan menghasilkan ilmu, teknologi dan bakat baharu, manakala industri pula membantu mempercepatkan proses pengkomersialan supaya inovasi yang dibangunkan dapat dimanfaatkan secara meluas.
“Kita memerlukan satu ekosistem yang menghubungkan penyelidikan, inovasi dan pelaksanaan. Apabila semua pihak bergerak bersama, manfaat teknologi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi impak kepada negara dan masyarakat,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa transformasi sektor agromakanan yang semakin dipacu teknologi membuka peluang kerjaya baharu kepada generasi muda.
Menurutnya, sektor tersebut kini melibatkan pelbagai teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), dron, robotik, biosensor, analisis data dan genomik yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Bidang agromakanan hari ini telah berkembang jauh melangkaui aktiviti tradisional di ladang. Ia kini menjadi sektor berasaskan teknologi yang menawarkan peluang kerjaya yang luas dan berimpak tinggi.
“Generasi muda mempunyai peluang besar untuk menyumbang kepada pembangunan negara melalui inovasi yang membantu meningkatkan keterjaminan makanan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berharap masyarakat dapat lebih terbuka menerima perkembangan bioteknologi serta memahami peranannya dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara pada masa hadapan.
“Apa yang penting, kita mahu memastikan makanan yang berada di atas meja rakyat hari ini bukan sahaja mencukupi, tetapi juga selamat, berkualiti dan bernutrisi untuk generasi akan datang.
“Bioteknologi mempunyai potensi besar untuk membantu negara mencapai matlamat tersebut dan menjadi antara pemacu utama kepada sistem makanan yang lebih mampan serta berdaya tahan,” katanya.
Date of Input: 29/06/2026 | Updated: 29/06/2026 | zarithsofea

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA