
Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
SERDANG, 29 Okt – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh kecemerlangan akademik menerusi pemerkasaan kepemimpinan akademik, integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) serta inovasi pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan graduan yang berdaya tahan, berkemahiran dan mampu mendepani cabaran masa hadapan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib berkata, warga akademia perlu memperkukuh kerjasama rentas disiplin dalam menghadapi perubahan landskap pendidikan tinggi, selain mengambil kira cabaran yang dihadapi ahli akademik serta kebimbangan pelajar terhadap masa depan.
“Kita tidak boleh lagi bergerak secara silo atau bersendirian. Nilai tambah terbesar para akademia adalah keupayaan menterjemahkan teori merentas pelbagai disiplin kepada kemahiran kelangsungan hidup dalam memastikan graduan kita mempunyai daya tahan dan lebih resilien untuk mendepani cabaran masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Putra Leaders Ignite dan Majlis Penutupan Bulan Akademia Putra UPM 2026 yang menghimpunkan pelbagai inisiatif perkongsian ilmu, pembangunan kepemimpinan serta pengiktirafan terhadap sumbangan warga akademia universiti.
Tambah beliau, pelbagai program berorientasikan akademik dan perkongsian intelektual telah dilaksanakan sepanjang bulan berkenaan, termasuk podcast wacana ilmiah, perkongsian kepakaran, syarahan tokoh terkemuka serta Pertandingan Amalan Terbaik Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) atau PUTRA-PINTAR 2026.
“Majlis penutupan ini bukanlah pengakhiran kepada agenda pemerkasaan akademia, sebaliknya menjadi pencetus untuk kita menterjemahkan segala wacana dan perkongsian sepanjang bulan ini kepada tindakan yang berterusan,” katanya.

Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead) UPM, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Zuhainis Saad, berkata, Bulan Akademia Putra merupakan wadah tahunan universiti bagi meraikan peranan, sumbangan dan pencapaian warga akademia dalam mengangkat martabat ilmu.
“Penganjuran tahun ini bertemakan “Sinergi Ilmu, AI dan Nilai: Menyemarak Inovasi Akademia” yang mencerminkan aspirasi UPM untuk melahirkan akademia yang menggabungkan kewibawaan ilmu, kecanggihan teknologi dan keluhuran etika sebagai pemacu inovasi pendidikan yang cemerlang serta mampan.
Menurutnya, Program Putra Leaders Ignite pula merupakan inisiatif latihan transformasi kepemimpinan akademik anjuran CADe-Lead yang bertujuan memantapkan keterampilan pegawai akademik melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman oleh tokoh serta pakar tersohor UPM.
“Program itu turut memberi pendedahan dan pengetahuan kepada warga universiti bagi membentuk komuniti akademik berilmu yang berupaya menyumbang kepada kemakmuran masyarakat sejagat,” katanya.

Majlis itu turut menampilkan perkongsian Ahli Lembaga Pengarah UPM, Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, menerusi tajuk “When Truth Meets Results: Leadership That Bridges Academia and Industry” yang mengetengahkan kepentingan kepemimpinan dalam merapatkan hubungan antara dunia akademik dengan industri.
Selain itu, PUTRA-PINTAR 2026 mengetengahkan inovasi pengajaran dan pembelajaran yang memberi penekanan kepada penggunaan teknologi, pembelajaran berasaskan pengalaman serta penglibatan aktif pelajar dalam proses memperoleh ilmu.

Pemenang tempat pertama kategori individu, Pensyarah Kanan Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains UPM, Dr. Nur Ezlin Zamri, berkata, inovasi The Research Trail: A Gamified Literature Search for Mathematics Students dibangunkan bagi membantu pelajar menguasai kemahiran pencarian literatur dan menilai kesahihan maklumat, khususnya sebagai persediaan menjalankan projek tahun akhir (FYP).
“Pendekatan gamifikasi itu tercetus daripada pemerhatian bahawa pelajar masa kini mempunyai kemahiran mencari maklumat dan menggunakan AI, namun masih memerlukan bimbingan untuk membezakan maklumat yang tepat dengan yang kurang tepat.
Tambah beliau, membangunkan sistem gamifikasi yang membolehkan pelajar menjalankan pencarian maklumat, berbincang dan saling membantu dalam proses pembelajaran. Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan pembelajaran secara aktif, malah membantu mereka membina kemahiran penyelidikan dengan lebih sistematik.
“Kaedah ini telah diuji terhadap dua kohort pelajar sepanjang dua tahun dan menunjukkan perkembangan positif dari segi keupayaan pelajar mengenal pasti jurnal matematik, set data serta menilai ketepatan maklumat. Saya berharap pendekatan ini dapat terus ditambah baik bagi memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Pemenang tempat pertama kategori kumpulan, Pensyarah Kanan Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), UPM, Dr. Noor Jalilah Jumaat, berkata, inovasi Student-As-Consultant (SAC): From Curriculum to Consultancy bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran autentik kepada pelajar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, bukan sekadar teori dan andaian.
Beliau berkata, inovasi tersebut melibatkan kerjasama menyeluruh warga jabatan, termasuk pensyarah daripada pelbagai kursus yang bersama-sama membimbing pelajar sejak semester pertama bagi membentuk kemahiran dan kompetensi sebagai perunding sebelum bergraduat.
“Kami mahu pelajar mendapat pengalaman sebenar dalam melaksanakan tugasan seperti seorang perunding dan pendekatan ini, mereka bukan sahaja memahami teori, malah berpeluang mengaplikasikan ilmu untuk membangunkan produk berkaitan kawasan rekreasi dan destinasi ekopelancongan,” katanya.
Inovasi tersebut turut mendapat kerjasama Ts. Dr. Mohd Hafizal Ismail, Gs. Dr. Azita Ahmad Zawawi, Prof. Dr. Azlizam Aziz, Prof. Madya Dr. Shazali Johari, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa, Dr. Nor Akmar Abdul Aziz, Dr. Evelyn Lim Ai Lin, Dr. Sheena Bidin dan Dr. Zulkhairi Azizi Zainal Abidin.
“Selepas dilaksanakan selama tiga kohort kami melihat perkembangan positif dari segi kemahiran dan kualiti hasil kerja pelajar. Kami mahu mereka bersedia untuk berkongsi kepakaran serta bertindak sebagai perunding walaupun masih dalam tempoh pengajian,” katanya.
Date of Input: 10/11/2026 | Updated: 10/11/2026 | eszereen

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA