UPM & Cardiff University Perkukuh Kerjasama Strategik  | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» NEWS » UPM & Cardiff University Perkukuh Kerjasama Strategik 

UPM & Cardiff University Perkukuh Kerjasama Strategik 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

 

SERDANG, 14 Sept - Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan usaha memperkukuh jaringan akademik antarabangsa menerusi lawatan kerja ke Cardiff University, United Kingdom, bagi meneroka dan memperluas kerjasama dalam bidang akademik serta penyelidikan.

 

Delegasi UPM diketuai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib, bersama Pengarah Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA), Prof. Dr. Alyani Ismail, dan Timbalan Pengarah (Pengurusan) i-PUTRA, Puan Shahriah Membar.

 

Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada penerokaan kerjasama penyelidikan merentas disiplin meliputi kelestarian global, keterjaminan makanan, perancangan bandar, dasar alam sekitar serta sains dan teknologi, selain pendedahan kepada teknologi amaran awal bencana.

 

 

 Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim berkata, lawatan tersebut penting dalam memperkukuh jaringan akademik antarabangsa UPM, memacu penyelidikan bersama serta mengukuhkan penglibatan dua hala dengan rakan institusi antarabangsa.

 

“UPM menyasarkan kerjasama penyelidikan merentas disiplin yang merangkumi bidang kelestarian global, keterjaminan makanan, perancangan bandar, dasar alam sekitar, sains dan teknologi, serta penerokaan teknologi amaran awal bencana,” katanya.

 

Delegasi UPM turut berkesempatan meninjau Tsunami Warning Lab bagi mendapatkan pendedahan terhadap penyelidikan dan teknologi berkaitan sistem amaran awal bencana, sekali gus membuka ruang kepada penerokaan kepakaran serta penyelidikan yang berpotensi untuk dikembangkan bersama.

 

 

Sementara itu, Prof. Dr. Alyani Ismail berkata, i-PUTRA akan menyelaraskan strategi penglibatan antarabangsa bagi mengukuhkan hubungan dengan rakan institusi serta meneruskan komitmen kerjasama pada masa hadapan.

 

“Kerjasama ini membuka ruang kepada penyelidik untuk menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dan meneroka teknologi termaju, manakala pelajar pula berpeluang memperluas penglibatan serta jaringan akademik di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam memperluas jaringan strategik antarabangsa serta membina peluang kerjasama yang dapat memperkukuh ekosistem akademik, penyelidikan dan inovasi universiti, sekali gus menyokong aspirasi Pelan Strategik UPM 2026–2030 untuk memperkukuh keterlihatan dan daya saing UPM di peringkat global.

 

Date of Input: 13/10/2026 | Updated: 13/10/2026 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZKPMAn~