SEHEPA 2026 Jadi Platform Nilai Impak Pembangunan Mahasiswa UPM | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» NEWS » SEHEPA 2026 jadi platform nilai impak pembangunan mahasiswa UPM

SEHEPA 2026 jadi platform nilai impak pembangunan mahasiswa UPM

Oleh: Husnina Zahra Hadri

 

 

SERDANG, 12 Mac – Seminar Hal Ehwal Pelajar 2026 (SEHEPA 2026) menjadi platform penting Universiti Putra Malaysia (UPM) menilai keberkesanan program pembangunan mahasiswa serta memperkukuh ekosistem pemerkasaan pelajar dan alumni di universiti itu.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr. Arifin Abdu, berkata seminar tersebut berfungsi sebagai ruang perkongsian idea, pembentangan amalan terbaik dan penilaian impak pelbagai inisiatif pembangunan pelajar yang dilaksanakan di universiti.

 

 

“Penganjuran SEHEPA selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat berprestasi tinggi dan graduan holistik.

 

“Antara fokus utama adalah pembelajaran yang berpaksikan kemanusiaan, berciri keusahawanan serta adaptif dalam membangunkan potensi pelajar agar lebih berdaya saing dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.

 

Tambah beliau, seminar tersebut bukan sekadar platform pembentangan idea, malah menjadi mekanisme untuk menilai impak sebenar program pembangunan mahasiswa yang dilaksanakan oleh entiti Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) di universiti.

 

“Melalui pembentangan yang dibuat, kita dapat melihat dengan lebih jelas hasil serta kesan program pembangunan pelajar yang dijalankan di setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ), sekali gus menambah baik pelaksanaannya pada masa hadapan,” katanya.

 

 

SEHEPA yang kini dianjurkan di peringkat universiti berpotensi diperluaskan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi memperkukuh perkongsian ilmu serta jaringan kerjasama dalam bidang pembangunan mahasiswa.

 

Seminar tersebut menghimpunkan barisan pentadbir universiti, pengarah, timbalan dekan, pengetua kolej kediaman serta pelajar yang membentangkan kajian dan inisiatif berkaitan pembangunan mahasiswa.

 

Dalam pada itu, penganjuran SEHEPA diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan UPM dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Date of Input: 12/03/2026 | Updated: 12/03/2026 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZDdBAO~