Oleh: Noor Eszereen Juferi
BINTULU, 3 Nov - Alunan muzik tradisional yang digabungkan dengan instrumen moden oleh 10 pemuzik masyarakat Kenyah Badeng menjadi antara tarikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50 Sidang 1 di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), di sini.
Persembahan oleh Persatuan Kebudayaan Kenyah Badeng Ulu Kakus itu menghimpunkan pemuzik dari Kampung Badeng Long Beyak dan Kampung Data Kakus bagi memperkenalkan keunikan warisan muzik masyarakat Orang Ulu kepada para tetamu, sekali gus menyemarakkan usaha memelihara seni budaya tradisional agar tidak dilupakan generasi muda.
Ketua Kampung Long Beyak, Edum Batok, 48, berkata, gabungan dua kumpulan muzik dari kampung berbeza itu mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat Kenyah Badeng dalam mengangkat identiti dan warisan budaya mereka.
“Gabungan alat muzik tradisional dan moden ini menghasilkan satu irama yang unik. Kita mahu memperkenalkan identiti bangsa kita kepada masyarakat luar, selain menarik minat generasi muda untuk mengenali dan menghargai warisan budaya sendiri.
“Pada masa ini ramai yang sudah mengenali alat muzik sape, namun gabungan pelbagai alat muzik seperti ini masih jarang diketengahkan. Inilah antara keunikan yang ingin kita tonjolkan bagi memperlihatkan kepelbagaian etnik dan identiti budaya yang terdapat di Sarawak,” katanya.
Persembahan itu menggabungkan pelbagai alat muzik termasuk sape, jatung utang, sampe jelutung, harmonika, seruling dan gitar bes bagi menghasilkan irama yang mencerminkan keunikan muzik masyarakat Kenyah Badeng.
Selain alunan muzik, persembahan turut diserikan dengan pakaian dan aksesori tradisional, termasuk hiasan kepala yang menjadi sebahagian daripada identiti budaya masyarakat berkenaan.
Edum berkata, persiapan persembahan mengambil masa kira-kira sebulan, merangkumi penyusunan konsep muzik, pemilihan lagu dan penyediaan hiasan pentas, termasuk sebuah perahu yang melambangkan penyatuan dua komuniti.
“Perahu ini melambangkan perjalanan dan tujuan bersama. Walaupun kami datang daripada dua kampung dan kumpulan muzik yang berbeza, kami mempunyai matlamat yang sama kerana berasal daripada rumpun etnik yang sama,” katanya.
Menurutnya, antara lagu yang diketengahkan ialah Lileng, iaitu irama tradisional yang lazimnya dimainkan bagi menyambut dan mengalu-alukan kehadiran tetamu dalam sesuatu majlis.
Selain persembahan muzik, program hari kedua konvokesyen turut dijadualkan menampilkan drama Det Diet dan tarian Datun Julut oleh kumpulan Yepodep Long Beyak sebagai usaha memperkenalkan kepelbagaian seni persembahan masyarakat setempat.
Edum berkata, peluang membuat persembahan pada majlis konvokesyen itu amat bermakna kerana menjadi platform untuk mengetengahkan warisan budaya masyarakat Kenyah Badeng kepada khalayak yang lebih luas.
Beliau berharap pendedahan melalui persembahan kebudayaan dan perkongsian di media sosial dapat menarik minat generasi muda untuk mengenali serta memelihara warisan seni tradisional masyarakat Sarawak.
“Kita berharap usaha ini dapat menarik minat generasi muda untuk mengenali budaya sendiri. Melalui perkongsian di media sosial, masyarakat dapat melihat keunikan tradisi di Sarawak serta membuka minda dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara warisan budaya,” katanya.
Date of Input: 03/11/2026 | Updated: 03/11/2026 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA