ALUMNI UPM SUMBANG HAMPIR RM300,000, SERIKAN KAMPUS SEMPENA KONVOKESYEN KE-50 | Universiti Putra Malaysia 99 exweb01
» NEWS » ALUMNI UPM SUMBANG HAMPIR RM300,000, SERIKAN KAMPUS SEMPENA KONVOKESYEN KE-50

ALUMNI UPM SUMBANG HAMPIR RM300,000, SERIKAN KAMPUS SEMPENA KONVOKESYEN KE-50

 

Kemeriahan Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50 tahun ini turut diserikan dengan inisiatif pencahayaan kampus hasil sumbangan alumni UPM yang berganding bahu menceriakan persekitaran universiti.

 

Menerusi kerjasama Persatuan Alumni UPM dan Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), sumbangan alumni telah dimanfaatkan untuk memasang lampu neon berwarna-warni di beberapa lokasi utama kampus, bermula dari laluan masuk utama UPM hingga ke Menara Jam Warisan Putra Budi serta kawasan hadapan Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) antaranya di tempat ikonik ‘We Love UPM’ yang akan menyerlahkan lagi suasana kampus pada waktu malam.

 

 

Pengarah ARCUPM, Fahmi Azar Mistar, berkata inisiatif itu membawa kelainan dalam menyemarakkan suasana kampus selain menjadi simbol penghargaan dan tanda ingatan alumni terhadap universiti yang pernah menjadi tempat mereka menimba ilmu.

 

Tambah beliau, idea tersebut tercetus daripada Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu, yang mahu menzahirkan sumbangan dan rasa kecintaan alumni terhadap UPM melalui suasana kampus yang lebih ceria hususnya bagi menyambut kepulangan para graduan sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-50 Sidang 2.

 

Lebih membanggakan, sambutan alumni terhadap inisiatif tersebut amat menggalakkan apabila jumlah sumbangan yang diterima hampir mencecah RM300,000, jauh melebihi sasaran awal sebanyak RM50,000.

 

 

Sumbangan tersebut membolehkan pemasangan lampu diperluas ke lebih banyak kawasan kampus serta mewujudkan suasana malam yang lebih meriah dan bercahaya untuk dinikmati oleh graduan, ibu bapa, warga universiti serta pengunjung.

 

Inisiatif ini bukan sekadar menceriakan landskap kampus malah mencerminkan hubungan erat dan semangat kebersamaan alumni yang terus menyumbang kepada universiti, biarpun telah melangkah jauh selepas bergelar graduan.

Date of Input: 23/11/2026 | Updated: 23/11/2026 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLXTAS~