Oleh: Mohd Iqmal Haris dan Nurul Athira Mohd Affandi
SERDANG, 19 Jun - Dalam usaha memperkasakan pelajar menjelang peperiksaan akhir semester, Chapter Alumni YOSH Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil langkah proaktif mengadakan slot bual bicara santai “Chapter YOSH Coffee Talk: Success Code” bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail.
Slot bicara santai itu bertemakan ‘‘Persediaan Peperiksaan Akhir’’ bertujuan untuk memberi motivasi kepada para mahasiswa yang bakal menduduki Peperiksaan Akhir Semester II Sesi Akademik 2022/2023.
Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata keseimbangan dalam menjaga akademik, kokurikulum dan sosial adalah penting untuk membangunkan perkembangan IQ dan EQ pelajar yang memberi manfaat kepada negara di masa depan.
“Kejayaan dalam kehidupan sebagai pelajar atau graduan di masa hadapan semua akan berbalik kepada melahirkan insan yang seimbang atau insan kamil. Keseimbangan dalam menjaga akademik, kokurikulum dan sosial,” katanya.
Program itu berkolaborasi bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM.
Penasihat Chapter Alumni YOSH UPM, Dr. Mohd Mursyid Arshad berkata pelajar perlu terus bersemangat dan melakukan yang terbaik dalam menghadapi peperiksaan akhir.
“Pencapaian kecemerlangan bukan hanya sekadar pada transkrip akademik malah pelajar perlu juga cemerlang dari segi sahsiah, akhlak dan nilai kerana menjadi kriteria pemilihan majikan masa kini,” katanya.
Alumni UPM Kelas 2022, Bacelor Sains Fizik dengan Kepujian, Fakulti Sains, UPM, Amzar Khalili berkata beliau akui pelajar akan menghadapi tekanan dalam tempoh genting semasa persediaan peperiksaan.
“Jangan putus asa dengan impian masing-masing dan yang paling penting adalah perlu bertenang serta bertekad untuk lakukan yang terbaik dan dapatkan bantuan jika tidak memahami topik pengajaran dengan penasihat akademik ,” katanya.
Timbalan Naib Presiden, MPP, UPM, Umairah Afifah berkata beliau berharap program itu sedikit sebanyak memberi manfaat kepada pelajar untuk terus semangat dan bermotivasi dalam menghadapi peperiksaan akhir yang bakal datang.
“Saya berterima kasih kepada Timbalan Naib Canselor dan Alumni YOSH UPM yang mengambil berat mengenai keadaan pelajar serta menganjurkan program sebegini yang menginspirasikan kami,” katanya. – UPM
Tarikh Input: 26/06/2023 | Kemaskini: 27/06/2023 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA