Oleh: Azman Zakaria
Foto: Marina Ismail
SERDANG, 23 Feb - Universiti Putra Malaysia (UPM) akan terus memperkasakan bidang pertanian selaras dengan kedudukannya sebagai universiti yang bertunjangkan sektor pertanian bagi menyumbang kepada pembangunan pertanian negara.
Naib Canselor, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata bidang pertanian merupakan niche area atau bidang kebitaraan UPM, dan Universiti mahu kekal ‘menjuarai’ bidang berkenaan.
Beliau berkata, UPM akan turut memperkasa peranannya dalam menerajui bidang sekuriti makanan.
“Kebanyakan fakulti di UPM menjurus kepada pertanian, program-program pertanian ini seperti berkaitan pokok dan tumbuh-tumbuhan serta ternakan akan diperkukuhkan.
“Bagaimanapun pada masa yang sama, UPM tidak akan mengetepikan atau mengabaikan bidang lain, ia turut diberikan perhatian,” katanya pada sidang media, di sini.
Beliau berkata, UPM sebagai Universiti Penyelidikan (RU) turut memberikan tumpuan untuk mendapatkan geran penyelidikan daripada luar negara, terutama ketika keadaan ekonomi negara yang mencabar.
Katanya, ia adalah usaha berterusan dan sedang berjalan.
Menurutnya, banyak negara termasuk di Kesatuan Eropah telah membuka geran mereka, terutama yang berkaitan sekuriti makanan, untuk negara-negara lain.
Tahun lalu, UPM memperoleh 11 geran antarabangsa dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11 juta, sekali gus membantu penyelidik universiti dalam menjalankan kajian. – UPM
Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA