
SERDANG, 13 Julai - Generasi muda berpeluang menyaksikan sendiri upacara menaikkan tiang seri Rumah Bumbung Panjang Selangor di Universiti Putra Malaysia (UPM), satu amalan tradisi yang semakin jarang dilaksanakan dalam pembinaan masa kini.
Upacara di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM itu memberi pendedahan secara langsung kepada warga kampus dan masyarakat mengenai adat, falsafah serta keunikan seni bina rumah Melayu tradisional.
Rumah Bumbung Panjang Selangor yang diinspirasikan daripada seni bina rumah tradisional di Sabak Bernam itu dibangunkan sebagai usaha memelihara khazanah seni bina Melayu, selain menjadi sumber pembelajaran, penyelidikan dan rujukan kepada pelajar, penyelidik serta masyarakat.
Pelajar Bacelor Komunikasi dengan Kepujian, FBMK, Nurashikin Walil berkata pengalaman menyaksikan upacara tersebut memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai nilai warisan yang terkandung dalam pembinaan rumah tradisional Melayu.
“Pengalaman ini menjadi kenangan yang amat bermakna kepada saya. Kami bukan sahaja dapat menyaksikan proses menaikkan tiang seri, malah berpeluang memahami adat, ketelitian dan nilai budaya di sebalik pembinaan rumah Melayu tradisional.
“Pendedahan seperti ini menjadikan pembelajaran lebih hidup kerana kami dapat melihat sendiri perkara yang sebelum ini hanya diketahui melalui pembacaan. Saya berharap lebih ramai generasi muda berpeluang mengalami pengalaman yang sama supaya warisan ini terus dihargai,” katanya.
Sementara itu, pelajar Bacelor Sastera dan Linguistik Melayu, FBMK, Muhammad Adam Zulkifli berkata beliau teruja kerana berpeluang menyaksikan upacara berkenaan buat kali pertama.
“Saya dibesarkan di bandar dan tidak pernah melihat upacara seperti ini secara langsung. Setiap proses yang dilaksanakan mempunyai adat, nilai dan makna budaya tersendiri yang membuatkan saya lebih menghargai kebijaksanaan masyarakat Melayu terdahulu,” katanya.
Felo Pengajar FBMK, Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad berkata tiang seri ialah tiang utama dalam pembinaan rumah Melayu tradisional dan menjadi asas penting kepada keseluruhan struktur bangunan.
Menurut beliau, upacara menaikkan tiang seri dalam tradisi masyarakat Melayu lazimnya disertai bacaan doa selamat sebagai tanda memohon kesejahteraan, keselamatan dan keberkatan.
“Di sesetengah tempat, terdapat amalan adat setempat seperti meletakkan kain tertentu pada tiang seri sebagai simbol mengikut tradisi masyarakat masing-masing. Amalan itu ialah sebahagian daripada warisan budaya yang diwarisi turun-temurun dan tidak seharusnya disalah tafsir sebagai unsur mistik atau kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran agama,” katanya.
Beliau berkata upacara berkenaan semakin jarang dapat disaksikan berikutan perubahan kaedah pembinaan dan perkembangan bangunan moden.
“Sepanjang lebih 40 tahun saya berada di UPM, inilah kali pertama upacara menaikkan tiang seri dilaksanakan di universiti ini. Lazimnya, kita menyaksikan majlis pecah tanah atau pelancaran projek pembinaan bangunan konkrit.
“Peluang ini amat istimewa kerana pelajar dan masyarakat dapat menyaksikan sendiri warisan budaya Melayu yang sarat dengan nilai sejarah, identiti serta falsafah pembinaan. Pengalaman seperti ini penting supaya warisan tersebut terus difahami, dihargai dan dipelihara oleh generasi akan datang,” katanya.
Pembangunan Rumah Bumbung Panjang Selangor itu turut memperlihatkan peranan UPM sebagai institusi pendidikan yang menghubungkan ilmu akademik dengan pengalaman lapangan, sekali gus menjadikan warisan Melayu sebagai bahan pembelajaran yang boleh diteroka secara langsung.
Upacara menaikkan tiang seri itu diadakan bersempena Majlis Pecah Tanah Pembinaan Rumah Bumbung Panjang Selangor di FBMK, UPM yang disempurnakan oleh EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.
Tarikh Input: 15/07/2026 | Kemaskini: 15/07/2026 | syamilakamarul

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA