Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
SERDANG, 11 Sept - Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah menjalin hubungan kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengeratkan kerjasama dalam pengembangan teknologi baharu akuakultur.
Pertukaran MoU itu disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Majlis Mendatangani MoU Antara DOF dengan pihak luar yang berlangsung di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2024) hari ini.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata kerjasama ini membolehkan UPM menyumbang kepada pengembangan teknologi baharu untuk meningkatkan produksi perikanan menciptakan sistem pemantauan yang lebih efisien.
“Penglibatan UPM dalam bidang sektor akuakultur dan akuatik akan menghasilkan impak yang tinggi bukan sahaja dari segi pembinaan kepakaran malah memperkukuhkan keterjaminan makanan negara,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama ini adalah sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 untuk Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri dan Masyarakat.
“Ini meningkatkan taraf universiti sebagai universiti yang diiktiraf oleh agensi luar negara di dalam penyelidikan terutama di dalam bidang akuakultur dan sains akuatik dan memberikan peningkatan imej UPM kepada industri dan masyarakat,” katanya.
Pengarah Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), UPM, Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris berkata kolaborasi penyelidikan dan pembangunan inovasi ini turut memperoleh manfaat bersama.
“Ini memberi peluang kepada staf dan pelajar UPM untuk bersama DOF untuk menlaksanakan kolaborasi penyelidikan serta pengembangan ilmu berkaitan akuakultur mampan,” katanya.
Dalam pada itu, kerjasama itu memberi peluang kepada universiti untuk mendekati komuniti setempat dan industri dengan lebih meluas melalui DOF serta bekerjasama dalam kajian perikanan, geran penyelidikan, aktiviti akuakultur dan pemuliharaan sumber daya laut.
Sebelum ini, I-AQUAS UPM dan DOF telah menjalankan aktiviti pelepasan ketam renjong bersama komuniti di perairan Negeri Sembilan dan Johor pada tahun 2019 dan kemudiannya pada tahun 2021 pelepasan 60,000 benih ketam renjung wakaf di Tanjung Biru, Port Dickson.
Tarikh Input: 12/09/2024 | Kemaskini: 12/09/2024 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA