Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Marina Ismail
SERDANG, 20 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Bioversity International menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangka peluang kerjasama bagi mempertingkatkan prestasi UPM dalam bidang penyelidikan terutamanya pertanian, perhutanan, dan bioteknologi di arena antarabangsa.
Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata kerjasama itu dilihat sebagai platform kepada pelajar antarabangsa untuk menjalankan projek penyelidikan bersama pensyarah UPM dan saintis Bioversity International.
“Bioversity International adalah sebuah organisasi penyelidikan biodiversity antarabangsa yang memberi fokus kepada peningkatan sekuriti makanan dan nutrisi, daya tahan spesis tanaman dan pokok, serta produktiviti dan perubahan iklim negara ahli.
“Kerjasama dengan organisasi bertaraf antarabangsa diharap dapat mempertingkatkan kemahiran pelajar UPM ke persada antarabangsa,” katanya.
Bioversity International adalah ahli CGIAR Consortium yang bertujuan membangun serta melaksanakan program penyelidikan untuk menangani isu-isu pembangunan kompleks berkaitan pertanian.
Bioversity International kini di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Luar Negeri dan beroperasi selama lebih daripada 20 tahun di Serdang bagi kawasan Asia Pasifik.
Sementara itu, Felo Penyelidik Utama, Laboratori Pengurusan Biosumber Mampan (BIOREM), Institut Perhutanan dan Produk Hutan (INTROP) UPM, Prof. Dato’ Dr. Nik Muhamad Nik Ab. Majid dilantik oleh Bioversity International sebagai Honorary Research Fellow sehingga Disember 2016, manakala Dr. Riina Jalonen, Associate Scientist Bioversity International dilantik sebagai Research Associate di INTROP UPM. – UPM
Tarikh Input: | Kemaskini: | eszereen
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA