Oleh: Najihah Harun
MERSING - Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Bengkel Fertigasi Duta Jauhar 3.0 kepada 30 penduduk Kampung Sawah Dato’, Mersing Johor untuk memperkenalkan kepada penduduk kampung serta pelajar UPM berkenaan projek Mersing Agriculture Transformation Scheme (MATS) yang menggunakan kaedah fertigasi dalam penanaman benih Cili Centil.
Pengarah projek MATS, Ahmad Sofwan Abdul Razak berkata sasaran utama penyertaan adalah daripada kalangan penduduk kampung yang berpendapatan rendah serta e-kasih.
“Antara objektif utama kumpulan Duta Jauhar UPM 3.0 memperkenalkan projek MATS ini adalah untuk membantu sumber pendapatan ekonomi masyarakat di Mersing serta menyahut cetusan idea Menteri Besar Johor bagi menggembleng tenaga dan idea mahasiswa sebagai agen transformasi masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, melalui bengkel ini, penduduk kampung mengetahui mengenai perusahaan tanaman fertigasi cili centil, serta faedah menjalankan aktiviti pertanian itu.
“Pada masa yang sama, para pelajar UPM turut bersama dengan masyarakat kampung menjayakan Bengkel Fertigasi 1.0 yang dianjurkan kumpulan Duta Jauhar UPM 3.0 ini,” katanya.
Beliau berkata persiapan selama sebulan dilakukan dengan kerjasama Penghulu Mukim Tenglu, Adam Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Adam dan Ketua Kampung Sawah Dato’, Hanafiah Junid.
Bengkel selama dua hari itu dikendalikan Pensyarah Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Aisyah Hassan dan Pegawai Jaringan Industri Masyarakat, Fakulti Pertanian, Muhd Ghazali Satar. - UPM
Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA