Oleh Azman Zakaria
CHENOR (Pahang), 1 Mac: Kira-kira 100 orang
sukarelawan yang terdiri daripada staf, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM)
dan masyarakat setempat dari kumpulan Sahabat Masjid, Kor SISPA UPM serta Pusat
Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) menjalankan misi bantuan kepada
mangsa banjir di kawasan Pesagi, Chenor, di sini.
Dalam misi yang diadakan pada 26 Februari lalu, mereka
menyampaikan bantuan barangan makanan dan kewangan kepada penduduk 57 buah
rumah di Kampung Pesagi, Chenor yang turut meliputi Penempatan PPRT, Kampung
Machang Gelap, Kampung Sawah dan Kampung Kandih yang rumah mereka dinaiki air
ketika banjir Januari lalu.
Barangan makanan yang diberikan termasuk beras, tepung,
susu, sardin, minyak masak dan noodle.
Mereka juga bersama-sama membersihkan beberapa rumah serta mengecat semula dua buah rumah yang dihuni oleh Orang Kurang Upaya (OKU) yang terjejas ketika banjir itu.
Sebuah daripada rumah itu dihuni oleh tujuh sekeluarga yang
semuanya OKU, manakala sebuah lagi dihuni seorang lelaki warga emas OKU.
Ketua misi bantuan, Zuhaimi Abdul Rahim berkata ia adalah
misi bantuan siri kedua yang dijalankan, selepas siri pertama pada 21 Januari
lalu membantu mangsa banjir di Pasir Mas, Kelantan.
Katanya, objektif misi adalah sejajar dengan konsep ihsan
yang diterapkan oleh Naib Canselor, Prof. Datin Paduka Dr Aini Ideris, untuk
sama-sama membantu masyarakat.
Zuhaimi yang juga Pengerusi Sahabat Masjid UPM berkata,
walaupun pada ketika ini tiada lagi banjir, namun kesan banjir pada awal
Januari lalu masih dirasai mangsa termasuk pelbagai perkakasan yang rosak dan
dinding rumah yang masih kotor.
“Sahabat Masjid UPM melaksanakan amanah dalam menyampaikan
bantuan itu daripada sumbangan dan derma orang ramai ke dalam tabung bantuan
mangsa banjir yang ditempatkan di Masjid UPM.
“Setakat ini kira-kira RM15,000 sudah digunakan untuk tujuan membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya. - UPM
Tarikh Input: 13/03/2017 | Kemaskini: 15/03/2017 | idah
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA