SERDANG, 16 Feb - Pasukan ‘Putra Space’ dari Universiti
Putra Malaysia (UPM) berjaya melangkah ke pusingan kedua pertandingan ‘Airbus
Fly Your Ideas 2017’ apabila disenarai dalam 50 pasukan terbaik (Top 50)
daripada sejumlah 356 pasukan dari 89 negara yang menyertai pertandingan itu.
Bagi pertandingan ini, pasukan ‘Putra Space’mengetengahkan
idea untuk meningkatkan kecekapan operasi syarikat penerbangan serta keselesaan
penumpang pesawat penerbangan dengan mereka bentuk sistem automatik bagi
penyimpanan bagasi kabin penumpang.
Melalui idea ini, penumpang hanya perlu meletakkan bagasi
mereka pada satu stesen khas yang akan diwujudkan berhampiran pintu masuk
pesawat. Sistem berkenaan kemudian akan menyimpan bagasi tersebut secara
automatik ke ruang penyimpanan khas di dalam ruang kargo yang telah diubahsuai.
Penumpang akan diberikan tag khas yang mengandungi kod bar
semasa proses daftar masuk di kaunter bagi urusan mendapatkan semula bagasi
kabin mereka semasa proses keluar dari pesawat.
Menurut satu kajian, ruang kargo pada pesawat penumpang
tidak pernah melebihi 40% kapasiti sejak beberapa tahun. Oleh itu, ruang kargo
kosong berkenaan boleh digunakan bagi implementasi sistem automatik penyimpanan
bagasi kabin yang dicadangkan itu.
Pasukan ‘Putra Space’ dianggotai pelajar Bacelor
Kejuruteraan (Aeroangkasa), Mohd Fazri Sedan dan Muhammad FaisHaikal Mohd Isa;
graduan Bacelor Kejuruteraan (Aeroangkasa) yang kini melanjutkan pengajian
Sarjana di National Cheng Kung University Taiwan, Tan Yi Han; dan pelajar
Sarjana Sains (Kejuruteraan Aeroangkasa) Nur Hashafiqa Zainal. Pasukan ini
diselia oleh pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan, Dr. Fairuz Izzuddin Romli.
Airbus’ Fly Your Ideas adalah pertandingan peringkat global
yang diadakan dua tahun sekali oleh Airbus dengan kerjasama UNESCO, yang
mencabar pelajar untuk melahirkan inovasi untuk masa depan penerbangan yang
mapan.
Seramai 5,499 pelajar dari 89 negara yang membentuk 356 pasukan mendaftar menyertai edisi kelima Airbus’ Fly Your Ideas ini. Pusingan pertama bermula September 2016, dan hanya 50 pasukan dipilih untuk pusingan kedua yang bermula Januari lalu, sebelum lima pasukan dipilih untuk pusingan akhir Mei depan.
Mohd Fazri, yang juga ketua pasukan Putra Space berkata, konsep dan idea mereka adalah untuk memudah dan mempercepatkan penumpang menuju ke tempat duduk tanpa perlu membawa bagasi kabin serta tidak perlu berdiri di laluan bagi menyimpan bagasi di kompartmen simpanan barang di atas tempat duduk yang akan menghalang laluan penumpang lain.
Katanya, ia juga menyelesaikan kesukaran yang dihadapi
penumpang yang mempunyai ketinggian rendah kerana melalui idea ini mereka tidak
perlu menyimpan bagasi di kompartmen.
Sekiranya berlaku turbulens udara pula katanya, bagasi tidak
akan menimpa penumpang kerana tiada bagasi besar yang diletakkan di dalam
kompartmen atas tempat duduk penumpang.
“Kita mahukan penumpang berasa lebih selesa dan selamat,
serta dapat menuju ke tempat duduk mereka dengan lebih cepat,” katanya ketika
temu bual.
Dr. Fairuz pula berkata, apa yang dilakukan oleh pasukan
Putra Space ini adalah kesinambungan daripada ‘capstone project’ yang diusulkan
melalui kerja kursus dalam subjek Rekabentuk Kenderaan Aeroangkasa yang diajar
beliau.
Menganggap idea tersebut sebagai menarik dan berpotensi,
beliau mencadangkan agar ianya dikaji secara lebih mendalam dan dihantar untuk
pertandingan itu.
“Pertandingan seperti ini memberi banyak kebaikan kepada
pelajar kerana ia mendedahkan mereka kepada kemahiran berfikir aras tinggi dan
meningkatkan daya kreativiti, selain memperkukuhkan kemahiran insaniah terutama
dalam aspek kerjasama dalam kumpulan dan komunikasi. Tambahan pula tidak
terdapat banyak pertandingan global berkaitan aeroangkasa dijalankan,” katanya.
Ini bukan kali pertama pasukan dari UPM berjaya melangkah ke
pusingan kedua pertandingan Airbus’ Fly Your Ideasi. Pada 2013, pasukan di
bawah seliaan Dr. Fairuz berjaya mara hingga ke peringkat akhir Top 5 yang diadakan
di Paris, Perancis.
Begitupun, penyertaan kali ini agak unik dan memberi cabaran
yang berbeza kerana pasukan ‘Putra Space’ terpaksa berdepan dengan sedikit
kesukaran dalam perbincangan keranaTan Yi Han kini melanjutkan pelajaran di
Taiwan.
Justeru mereka banyak menggunakan media sosial untuk
berinteraksi dan berbincang dengan beliau secara atas talian.
“Ya, saya jauh dari ahli kumpulan yang lain dan sukar untuk
berinteraksi. Jadi, kami gunakan media sosial untuk berkomunikasi. Meskipun
jauh, saya akan lakukan yang terbaik untuk kumpulan,” katanya melalui sidang
video ketika temu bual itu.
Pasukan ‘Putra Space’ turut berterima kasih kepada Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, UPM serta Persatuan Aeroangkasa Malaysia (AEROS Malaysia) yang memberi sokongan serta bantuan dalam menjayakan penyertaan mereka ke pertandingan itu. – UPM
Tarikh Input: 13/03/2017 | Kemaskini: 15/03/2017 | idah
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA