Oleh : Hanafi Rashid
TAMIL NADU (INDIA) - Dalam mencapai tahap
kebolehpasaran graduan, mahasiswa disarankan untuk peka terhadap perkembangan
semasa dalam dan luar negara bagi memastikan pemikiran yang seiring dengan
perkembangan dunia tanpa sempadan.
Sehubungan itu, seramai 16 pelajar Universiti Putra Malaysia
(UPM) menyertai Program Kembara Seni India dari 13 hingga 27 Januari lalu,
bertujuan menerokai seni rekabentuk dan budaya di India.
Program yang disertai oleh pelajar Kolej Sepuluh itu turut
menjalinkan hubungan pendidikan dengan dua buah universiti di sana iaitu
Bharathidasan University, Government College Engineering dan Cochin College.
Penasihat Program, Ahmad Qadry berkata, mereka diberi
sambutan meriah di universiti terbabit kerana menurut kedua-dua universiti itu,
ini adalah julung kali mereka mendapat lawatan universiti dari Malaysia.
Katanya, keakraban pelajar UPM dengan universiti di India
itu diperkukuhkan lagi dengan perlawanan bola sepak yang berkesudahan seri 1-1.
Dalam meniti keindahan seni bina di India, pelajar UPM juga
turut memberi khidmat sosial terhadap penduduk di India. Antaranya ialah
memberi makanan percuma kepada pengemis jalanan, membantu servis dobi dan juga
mengolah halia.
“Saya berasa gembira kerana dapat membantu masyarakat yang
susah dan turut melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana memberikan
kesenangan kepada kita semua di Malaysia,” katanya.
Seperti di Malaysia, India juga turut memiliki keindahan
alam semula jadi seperti di Kodaikanal dan Munnar. Kehijauan bumi dengan udara
nyaman pada suhu 16 °C menjanjikan suatu pengalaman yang menarik.
“Saya teruja melihat kecantikan alam semula jadi di sini. Ia melahirkan rasa tenang sepanjang saya berada di sini,” katanya. – UPM
Tarikh Input: 13/03/2017 | Kemaskini: 13/03/2017 | idah
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA